Polis terima 91 laporan kes hina Agong
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 91 laporan yang dibuat di seluruh negara ekoran perkongsian pemilik akaun Facebook Sabah-Sarawak Merdeka yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata, jumlah laporan polis yang diterima itu sejak kenyataan jelik berkenaan tular di media sosial sehingga semalam.
Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan iaitu melakukan kesalahan bagi mana-mana orang yang melakukan perbuatan mempunyai kecenderungan menghasut.
"Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Fuzi juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau mana-mana rangkaian komunikasi untuk membuat sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin sudah mengarahkan Ketua Polis Negara supaya menyiasat kes tersebut dengan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan.
Pada Rabu lalu, laman Facebook menggunakan nama Sabah-Sarawak Merdeka memuat naik dua keping gambar secara berasingan yang disunting dengan unsur menjelikkan berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

