Persiapan bagi warganegara Indonesia di Sarawak mengundi awal dalam Pilihan Raya Umum Presiden (Pilpres) 2019 esok, di Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Jalan Stutong di Kuching berjalan lancar.

Ketua Panitia Pemilihan Luar Negeri (PPLN) Sarawak Adi Dewanto berkata tiga tempat pengundian disediakan di premis itu bagi memudahkan 1,191 rakyat Indonesia yang bekerja di Kuching mengundi.

“Kami telah bersedia sepenuhnya hari ini dan proses pengundian akan bermula esok, pada 8 pagi hingga 6 petang dan kami akan pastikan semua warga Indonesia yang berdaftar mengundi.

“Pada 5 petang, Konsulat akan membuka satu lagi pendaftaran bagi pengundi khas yang tidak mendaftar sebelum 15 Disember 2018 bagi membolehkan nama mereka dalam senarai undi dan melaksanakan hak mereka untuk mengundi presiden baharu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Konsulat hari ini.

Warga Indonesia yang menetap di Sarawak boleh menyemak status pengundian mereka di laman web rasmi kerajaan Indonesia di www.kpu.go.id atau memeriksa nama mereka dalam senarai pengundian di Konsulat esok.

Sejumlah 138,953 warga Indonesia di Sarawak layak untuk mengundi dalam pilihan raya itu.

- Bernama