Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Tak timbul soal laluan baru ECRL tanpa Terengganu

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar masih optimis Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengekalkan laluan sedia ada di Terengganu.

Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan kepada pemikiran yang logik kerana sebarang perubahan laluan yang tidak melibatkan laluan sedia ada akan melibatkan kos tambahan.

"Jadi tentulah tak masuk akal sekiranya kos tambahan itu nak dibelanjakan untuk laluan baru kerana ia akan melibatkan kajian baru, pengambilalihan tanah, pembinaan stesen-stesen yang lain dan tempat-tempat kerja yang lain sedangkan ia dah ada di tempat-tempat tertentu di Terengganu.

"Pada saya tak timbul soal laluan baharu Kota Bharu, Kelantan ke Mentakab di Pahang (tanpa Terengganu)....Secara logiknya begitu...Jika bercakap tentang pengurangan kos...(mengekalkan laluan di Terengganu) itu adalah caranya.

"Kalau buat perubahan di Gombak, Selangor atau Raub di Pahang, itu tidak menjejaskan banyak perkara kerana tanpa Gombak atau Raub, laluan itu akan menjadi lebih mudah sebenarnya walaupun libatkan kajian baru di kawasan baru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan flag off (pelepasan) Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu di Terengganu International Endurance Park (TIEP) dekat Lembah Bidong di Setiu hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata beliau akan mendapatkan kepastian mengenai perkara itu setelah menerima penjelasan lanjut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Isnin ini.

"Esok, Tun Daim Zainuddin juga akan hadir ke Terengganu sempena Bicara Darul Iman di mana beliau akan menyampaikan syarahan. Kita akan cuba bertanyakan tentang ECRL kepada beliau," katanya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Wakil Khas Perdana Menteri Daim Zainuddin pula dilaporkan berkata jajaran baru ECRL ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

'Saya sedia disiasat SPRM'

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan yang mengaitkan PAS Terengganu menerima RM3.5 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ahmad Samsuri berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk disiasat oleh pihak berkuasa.

"Biar SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) buat siasatan, kalau ada kes salah laku dari segi undang-undang, biar tindakan diambil mengikut bidang kuasa SPRM. Kita alu-alukan mereka bertindak kepada sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang.

"Kalau ada sebarang masalah, tentulah ada siasatan dan kita sangat terbuka dalam perkara ini," katanya.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan laporan berita yang memetik sumber SPRM mengenai pemberian RM3.5 juta kepada PAS Terengganu, iaitu sebahagian daripada RM90 juta yang didakwa diterima PAS.

Ahmad Samsuri turut menafikan bahawa beliau adalah antara pemimpin PAS Terengganu yang dikaitkan turut menerima wang itu.

"Saya menafikan dakwaan itu. Saya ada beberapa akaun bank dan boleh tunjuk penyata akaun bank untuk siasatan SPRM pada bila-bila masa," katanya yang menyifatkan dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

-Bernama

Lihat Komen
ADS