Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli politik perguna agama patut taubat dulu, kata Latheefa
Diterbitkan:  Apr 18, 2019 8:36 PM
Dikemaskini: Apr 19, 2019 6:29 AM

Peguam dan aktivis hak asasi manusia, Latheefa Koya, membidas sesetengah ahli politik yang mengeluarkan kenyataan mengecamnya berhubung isu wanita bertudung.

Menggunakan ciapan di Twitter hari ini, Latheefa mencadangkan agar ahli politik - yang didakwanya selama ini mempergunakan agama demi kepentingan parti - bertaubat terlebih dulu sebelum menasihatinya berbuat demikian.

“Akibat perlakuan sempit dan ekstremis saudaralah, Islam dipandang serong,” katanya.

Dia berkata demikian dengan merujuk kepada kenyataan Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menerusi laporan Sinar Harian yang disiarkan hari ini

“Aurat seorang Muslimah bukan maklumat rahsia bahawa ia meliputi seluruh anggota tubuh melainkan muka dan tangan.

“Jadi dengan menyatakan bahawa wanita (Muslimah) tidak seharusnya dipaksa untuk bertudung adalah satu kenyataan yang difahami sudah menafikan kewajipan menutup aurat sebagai Muslimah,” kata Ahmad Fadhli.

Dalam laporan yang sama, Exco Pemuda Umno yang juga pengerusi Kluster Peguam Muda, Nik Saiful Adli Burhan, menyarankan Latheefa segera bertaubat dan merujuk kepada ulama serta pakar pengajian tafsir al-Quran sebelum sewenang-wenangnya mempertikaikan hukum agama.

Isu berkaitan kewajipan wanita Islam bertudung timbul selepas aktivis Maryam Lee Abdullah melancarkan bukunya bertajuk Unveiling Choice.

Nasihat jangan bongkak

Ia disusuli dengan cadangan mengadakan forum membincangkan isu perempuan Melayu yang tidak lagi bertudung di Petaling Jaya, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Latheefa menyeru orang ramai agar tidak mempunyai pandangan sempit mengenai hijab dan aurat.

“Sila keluar dari tempurung anda dan belajarlah bagaimana Islam dipraktikkan diseluruh dunia.

“Islam bukan sahaja di Kelantan dan pengertian saudara apa itu hijab tidak semestinya tepat.

“Jangan bongkak, suruh orang taubat tanpa asas,” katanya.

Pengarah eksekutif Lawyers For Liberty itu semalam berkata wanita tidak patut dipaksa untuk bertudung, dan berpendapat tiada paksaan dalam Islam berkaitan tuntutan berkenaan.

Menurutnya lagi, isu ini tidak perlu dijadikan masalah negara.

“Apa yang bahaya sangat? Hari-hari tengok rambut Rosmah (Mansor) tak ada pun masalah. Ini sekali buat forum saja,” katanya menerusi ciapan di Twitter petang tadi.

Latheefa juga dilihat mendapat kecaman dari orang awam dan turut membalas ciapan mereka.

“Tiada apa yang terlebih jika bincang pasal hijab. Islam tidak lemah atau rapuh dan tidak perlu pembelaan,” katanya.

Lihat Komen
ADS