Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khutbah: Umat Islam diingatkan tak keliru antara hak dan keinginan
Diterbitkan:  Apr 19, 2019 11:56 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak terkeliru antara hak dan keinginan.

Dalam khutbah Jumaat berjudul ‘Antara Hak dan Keinginan’ oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini, mimbar berkata terdapat gerakan hak asasi manusia yang memperjuangkan hak seperti untuk minum arak dan hak untuk menukar jantina.

Sedangkan, kata mimbar, hak yang diingini itu bukanlah hak yang sepatutnya diperoleh.

Sebaliknya, kata mimbar, ia hanyalah keinginan manusia yang berasaskan kepada logik akal semata-mata tanpa bimbingan wahyu Allah, serta merupakan keinginan yang tidak terbatas.

“Pemikiran ini menjadikan hak asasi sebagai topeng untuk mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan,” kata mimbar.

Selain itu, mimbar turut mengingatkan umat Islam agar mematuhi aturan Islam yang lengkap dan sempurna mencakupi sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besarnya.

Kata mimbar, selagi mana sesuatu keinginan itu tidak bercanggah dengan wahyu Allah, maka ia dibenarkan. Sebaliknya, sekiranya bercanggah, maka wahyu Allah yang perlu diutamakan.

“Manusia tidak mampu untuk membezakan antara keduanya kerana manusia sering membesarkan tuntutan dirinya sendiri berbanding orang lain.

“Oleh kerana Allah merupakan pencipta manusia, Allah mengetahui sifat semula jadi kejadian manusia. Allah telah meletakkan panduan yang sempurna antara hak dan keinginan,” kata mimbar lagi.

Lihat Komen
ADS