Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jajaran baru lindungi Rabung Kuarza Genting Klang

Keputusan kerajaan untuk tidak menyentuh Rabung Kuarza Genting Klang, di Gombak, dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), akan memudahkan proses ratifikasi kawasan itu sebagai Tapak Warisan Negara dan Dunia, kata seorang pakar warisan.

Menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan tepat, Pengerusi Jawatankuasa Pemuliharaan dan Warisan, Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Datuk Zulkhairi Md Zain berkata rabung kuarza yang terbentuk secara semula jadi di Malaysia itu merupakan aset negara yang wajar dilindungi dan dijaga rapi.

"Pembangunan bagi merancakkan ekonomi negara begitu mudah untuk mengubah bentuk muka bumi tetapi jika kawasan yang terbentuk secara semula jadi itu dimusnahkan akibat tujuan itu, ia akan hilang selama-lamanya dan tidak dapat diganti lagi," katanya kepada Bernama.

Di bawah cadangan asal pembinaan ECRL oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, rabung kuarza tulen sepanjang 16 kilometer dan seluas 200 meter itu, terpanjang di dunia, termasuk dalam jajaran laluan projek berkenaan di mana kerja-kerja pembinaan terowong melibatkan banjaran gunung di negara ini.

"Mungkin mereka lihat ia tidak ada impak buat masa sekarang tetapi kita tidak tahu mungkin pada masa hadapan ia akan menjejaskan bahagian lain pula pada kawasan itu seperti banjir kilat dan tanah runtuh akibat pembinaan terowong itu.

"Pembangunan adalah buatan manusia yang boleh diubah suai mengikut keadaan tetapi pembentukan semula jadi sangat sukar untuk didapati, sebab itulah kawasan itu dicadangkan untuk diiktiraf sebagai tapak warisan Unesco (Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)," katanya.

Zulkhairi yang juga Timbalan Presiden Majlis Monumen dan Tapak Bersejarah Antarabangsa (ICOMOS) Malaysia juga mencadangkan supaya kajian saintifik serta impak terhadap pelbagai aspek diteliti terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu pembangunan, lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan tapak bersejarah dan kawasan pembentukan semula jadi.

"Sekiranya dibuat kajian, kemungkinan sepanjang cadangan laluan itu terdapat tapak-tapak bersejarah ataupun pembentukan ajaib bernilai akibat pergerakan muka bumi dan pihak berkuasa dapat membina pagar terlebih dahulu bagi melindungi kawasan itu daripada pencerobohan dan pembangunan,” katanya.

Isnin lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penjajaran baharu ECRL itu telah mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri Selangor yang tidak membenarkan pembangunan melalui kawasan Rabung Kuarza Genting Klang yang disenaraikan dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia Unesco.

Sebagai rekod, tapak Rabung Kuarza Genting Klang sudah dicalonkan dan kini berada dalam senarai tentatif yang telah dihantar ke Unesco.

- Bernama

Lihat Komen
ADS