Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Arab Saudi, Ethiopia berpotensi jadi pasaran baru sawit'

Arab Saudi dan Ethiopia dilihat sebagai pasaran baru yang berpotensi untuk eksport minyak sawit Malaysia, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata usaha mempromosi minyak sawit Malaysia di kedua-dua negara terbabit akan bermula apabila timbalannya, Iskandar Mohd Akin mengadakan lawatan di negara berkenaan pada minggu hadapan.

"Dua negara itu adalah antara sasaran awal kerajaan dalam usaha meneroka pasaran baru sebagai langkah jangka panjang memasarkan komoditi negara ini.

"Minggu depan, timbalan menteri akan menghadiri seminar minyak sawit di Arab Saudi sebelum melawat Ethiopia. Semua ini adalah pasaran baru dan beliau juga akan berusaha mempromosi minyak sawit negara ke kedua-dua negara itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pertandingan Memasak dengan minyak kelapa sawit (LMPOCC) bersempena kempen Sayangi Minyak Sawit Malaysia 2019, di Jempol, Negeri Sembilan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Chew Jit Seng dan Pengerusi Havys Oil Mill Sdn Bhd, Lim Kin Eng.

Mengulas lanjut, Kok berkata usaha mempergiatkan promosi minyak sawit negara juga akan dibantu oleh kementerian lain apabila menerima undangan lawatan rasmi di luar negara.

"Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sebelum ini memberitahu bahawa beliau juga akan membantu menarik minat Russia dan Iran untuk membeli minyak sawit negara apabila menghadiri mesyuarat berkaitan pertahanan di kedua-dua negara berkenaan.

"Ini juga adalah pasaran baru untuk Malaysia, dan saya yakin ia akan menyumbang kepada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke negara luar," katanya.

Ditanya mengenai usaha kerajaan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China, Kok berkata langkah itu diyakini akan menyumbang kepada peningkatan nilai eksport komoditi tempatan.

"Pihak Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan kementerian saya juga akan mengadakan pelbagai program dan pelaburan supaya boleh tarik lebih banyak syarikat dari China untuk datang melabur di Malaysia serta membeli minyak sawit negara ke pasaran mereka," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS