Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Debat sama ada Lynas selamat atau tidak, kata Saifuddin

Pihak yang terlibat dalam isu berkaitan kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) disaran mengadakan perdebatan sihat dalam membincangkan isu tersebut, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata tiga pihak utama iaitu kerajaan menerusi pelbagai agensi dan jabatan di bawahnya, pengurusan Lynas, dan mereka yang tidak bersetuju dengan Lynas, untuk tidak menggunakan pihak ketiga dalam menyuarakan pendapat masing-masing tetapi sebaliknya duduk semeja dan berbincang secara sihat.

"Perdebatan secara sihat dapat mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku. Debat ini antaranya melibatkan adakah ia selamat, atau mengandungi kandungan radioaktif yang tinggi atau tidak, dan sebagainya.

"Masih juga berlaku anggapan jika Lynas memperoleh sesuatu keputusan daripada kerajaan, maka timbul pula persoalan adakah prosesnya telus atau adakah kemungkinan rasuah berlaku,” katanya pada sidang media selepas melawat operasi kilang Lynas di Gebeng di Kuantan, hari ini.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen (MP) Indera Mahkota meluangkan masa hampir tiga jam di situ, yang antara lain melibatkan sesi taklimat daripada pengurusan Lynas, melihat operasi dan berbincang bersama pekerja Lynas.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai operasi atau dapatan mengenai lawatan itu, kerana berpandangan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, adalah individu paling sesuai untuk berbuat demikian.

Yeo, menurut Saifuddin telah memberikan isyarat positif bersedia untuk melawat Lynas, namun setakat ini, tiada tarikh ditetapkan.

Ditanya jika beliau akan berkongsi input lawatannya di mesyuarat Kabinet, Saifuddin berkata: "Sebagai anggota Kabinet dan lebih-lebih lagi sebagai MP kawasan kilang Lynas didirikan, saya harus terlibat, tetapi sebagai seorang yang terlibat dalam tadbir urus."

Untuk rekod, Saifuddin merupakan menteri kedua yang melawat kilang Lynas selepas Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Peraturan dan Pematuhan Lynas Profesor Dr Ismail Bahari berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk menyertai perbincangan secara sihat bagi memberi penjelasan mengenai operasi mereka.

"Itu adalah tawaran yang diberikan sejak mula beroperasi dan kita tidak mengatakan tidak boleh berjumpa kerana di pihak Lynas, kami sentiasa bersedia untuk bersama-sama mencari menyelesaian dan titik persamaan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS