Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini membebaskan bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Abdul Latif Bandi daripada 37 pertuduhan melibatkan rasuah.

Menurut The Star, Hakim Kamarudin Kamsun, ketika penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Latif dan dua lagi tertuduh.

Dua lagi tertuduh ialah anak lelaki Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim Abdul Latif dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub.

Kamarudin ketika penghakimannya turut mengarahkan pelepasan dan pembebasan penuh untuk ketiga-tiga mereka dan mengarahkan supaya wang jaminan dikembalikan kepada tertuduh.

Kamarudin bagaimanapun berkata SPRM mempunyai 14 hari untuk merayu keputusan itu.

Abdul Latif, Ahmad Fauzan dan Amir berdepan 33 pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 28(c) Akta SPRM 2009 serta empat pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Pertuduhan rasuah terbabit melibatkan tanah berharga lebih daripada RM30 juta, pada tahun 2017.

Mereka didakwa menerima dana sebagai sogokan untuk mengubah status tanah bumiputera.

Berikutan penangkapan Abd Latif, SPRM menyerbu rumahnya di Johor Bahru dan merampas 150 beg tangan mewah dan kenderaan mewah.

Sepanjang perbicaraan, kira-kira 63 saksi dikemukakan, kata The Star.

Ketiga-tiga mereka diwakili oleh pasukan peguam yang dipimpin oleh Hasnal Rezua Merican, sementara pegawai timbalan pendakwa Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman mewakili SPRM.

Sementara itu, dalam perkembangan isu sama, SPRM dalam kenyataan media berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi hasil perbincangan bersama Timbalan Pendakwa Raya.

Tindakan tersebut akan dilakukan sebelum tempoh 14 hari seperti yang telah ditetapkan oleh mahkamah.