Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tanggung RM140 juta kos pengangkutan barangan ke pedalaman

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM140 juta untuk menampung kos pengangkutan barangan keperluan asas ke kawasan luar bandar dan pedalaman di bawah Program Penyeragaman Harga di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen berkata untuk Sarawak sahaja sejumlah RM80 juta telah diperuntukkan.

“Antara barangan keperluan asas yang ditanggung oleh kerajaan dari segi kos pengangkutan atau penghantarannya adalah beras, tepung, gula, minyak masak, gas (petroleum cecair) LPG, (petrol) RON 95 dan diesel.

Program ini telah diuruskan melalui tender terbuka dan telahpun dimulakan pada sejak 1 April yang lepas,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Kuching, Sarawak, hari ini.

Kata Chong, tidak dinafikan harga barangan di kawasan pedalaman agak mahal dan berlakunya ketirisan.

“Oleh itu, kementerian sentiasa mengarahkan kakitangan memantau harga di pedalaman menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa agar harga barangan keperluan tersebut terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, kata Chong, bersempena dengan sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidil Fitri yang akan datang, kementerian bercadang untuk melanjutkan tempoh Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP).

“Biasanya tempoh SKHMP ini adalah 15 hari, kali ini kementerian akan melanjutkan tempoh tersebut kepada 20 hingga 30 hari.

Ini adalah satu langkah untuk mengawal jenis barang keperluan sebagai barangan harga terkawal musim perayaan untuk ditetapkan harga maksimum,” katanya.


--Bernama

Lihat Komen
ADS