Malaysiakini BERITA

Akta isytihar harta: PAS cadang siasat sumber

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk memperkenalkan akta baru yang mewajibkan ahli politik serta pegawai kanan kerajaan gred Jusa C ke atas, mengisytiharkan harta.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya sambut baik sebarang akta bagi membendung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun katanya, perisiytiharan harta perlu disertakan dengan siasatan sumber harta.

"Dalam Islam harta bukan perlu diisytihar kepada umum. Bahkan dalam Islam disiasat dari mana harta tersebut dan ke mana ia dibelanjakan.

"Perisytiharan harta tanpa disiasat punca harta tidak akan mencapai matlamat pencegahan rasuah.

"Sebagai contoh ada kalangan pimpinan yang telah isytihar harta ratusan juta (ringgit Malaysia). Apakah tiada siasatan dilakukan?" katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan akta tersebut dijangka akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata berdasarkan undang-undang baharu itu nanti, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan sama ada penjara atau denda.

"Mengikut akta baharu itu nanti, kalau mereka tak isytihar, ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sama ada penjara atau denda. Namun kita perlu tunggu apa yang bakal diluluskan pada peringkat parlimen nanti.

"Ketika ini, kita sedang dalam proses penyediaan (perkara berkaitan akta baharu) yang mana akhirnya kita bawa ke bahagian penggubalan dan seterusnya bawa ke Kabinet dan kita harap sebelum akhir tahun ini perkara ini dapat direalisasikan," katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berharap usaha itu dapat meningkatkan integriti termasuk di kalangan ahli politik.

"Semoga usaha SPRM ini akan membawa kebaikan bagi meningkatkan integriti di kalangan ahli polotik dan penjawat awam," katanya.