Tidak sampai 24 jam penemuan bayi perempuan yang dibuang di Masjid Lama Ara Kuda di Tasek Gelugor, dekat sini, polis telah berjaya menyelesaikan kes itu selepas menahan seorang wanita dipercayai bersubahat dengan anaknya membuang bayi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata tindakan pantas polis telah berjaya membawa kepada penahanan seorang wanita berumur 57 tahun di Kulim, Kedah kira-kira pukul 1 pagi tadi.

"Berdasarkan siasatan awal, wanita itu bersama anak perempuannya berumur 28 tahun yang juga janda beranak satu telah membuang bayi berkenaan di kaki lima masjid tersebut sebelum dia (ibu bayi) mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Kulim," katanya di sini hari ini.

Katanya doktor yang merawat wanita itu mendapati uri masih melekat di dalam perutnya sebelum merujuk kes berkenaan ke hospital kerajaan dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, polis berjaya mengesan anak-beranak tersebut.

Beliau berkata anak sulung wanita yang ditahan polis itu masih menerima rawatan di Hospital Kulim dan pihaknya akan mereman dia selepas keluar dari hospital.

Noorzainy berkata siasatan awal mendapati ibu kepada bayi itu mempunyai seorang anak perempuan berusia enam tahun dan kematian suami pada tahun 2015 serta dia mengaku bayi yang dibuang itu adalah hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya.

"Wanita warga emas yang ditahan itu merupakan seorang balu dan mempunyai dua orang anak perempuan serta seorang cucu perempuan. Dia kini direman bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi," katanya.

Beliau berkata bayi perempuan seberat 2.8 kilogram itu dalam keadaan sihat dan berada di Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan serta pemantauan doktor.

Semalam, jemaah Masjid Lama Ara Kuda, di sini yang sedang bersiap untuk menunaikan solat Zuhur terkejut dengan penemuan bayi perempuan yang diletakkan di dalam sebuah kotak dan ditinggalkan di tepi kaki lima masjid berkenaan.

Bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan itu ditemui kira-kira pukul 1.15 tengah hari oleh seorang kanak-kanak lelaki yang hadir menunaikan solat di masjid berkenaan sebelum memaklumkan kepada jemaah lain.

- Bernama