MIC akan mengambiltindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya yang terbabit dalam demonstrasi, menumbuk atau sebarang taktik kotor dalam pemilihan parti kali ini, kata presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Artikel 61 perlembagaan MIC membenarkan Presiden menyingkir atau menggantung mana-mana anggota parti jika beliau berpuashati bahawa anggota berkenaan telah bertindak bertentangan dengan kepentingan MIC.

Menurut beliau, 3,900 cawangan MIC di seluruh negara telah mengadakan pencalonan awal bulan ini dan daripada jumlah itu hanya 65 cawangan akan menyaksikan pertandingan.

"Tiga cawangan telah dirujuk kepada lembaga disiplin parti berikutan kekacauan pada mesyuarat itu. Lembaga itu sedang menyiasat tiga cawangan, Petaling Jaya Selatan di Selangor, Bukit Gantang dan Batu Gajah di Perak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat MIC semalam.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata siasatan awal menunjukkan bahawa terdapat kejadian pergaduhan di tiga cawangan itu dan lembaga akan menyiasat secara terperinci.

Tahun ini ialah tahun pemilihan bagi MIC, pemilihan cawangan akan diadakan pada bulan, pemilihan bahagian dan Presiden pada akhir bulan depan.

Pemilihan bagi jawatan pemimpin kebangsaan lain, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat akan diadakan pada Jun ini.

Samy Vellu juga menasihatkan anggota parti mengadakan mesyuarat dengan baik, dan nasihatkan pemimpin cawangan anda yang hadir pada mesyuarat itu bahawa mereka boleh bercakap dan menyuarakan pandangan mereka dan apabila masa pemilihan, mereka hanya memilih pemimpin yang mereka kehendaki.

Menegnai penggunaan media untuk berkempen, beliau berkata, kali ini kelonggaran diberikan bagi memberi peluang kepada calon-calon mengeluarkan pandangan mereka.

"Saya tidak mahu terlalu keras dengan mereka pada masa ini. Beri mereka sedikit kebebasan. Biarkan mereka melahirkan apa yang mereka mahu tetapi apabila mereka pergi dan melahirkan apa yang menghalang parti, inilah masanya kita bertindak terhadap mereka. Tetapi kebebasan bercakap kepada media, kebebasan untuk bercakap apa yang berlaku, itu kita benarkan," kata beliau.

Artikel 14 perlembagaan MIC melarang anggota parti daripada membuat sebarang kenyataan kepada akhbar mengenai sebarang perkara berkaitan parti itu dan hal ehwalnya yang merosakkan parti, dasar atau objektifnya.

Samy Vellu berkata pemilihan MIC tahun ini tidak akan memecah-belahkan parti itu seperti yang didakwa oleh dua pemimpin veteran baru-baru ini.

"Setakat ini, belum ada pemilihan yang telah memecah-belahkan. Ada pemilihan yang paling teruk daripada ini. Parti adalah parti, pemilihan adalah pemilihan... selepas pemilihan semuanya dilupakan dan setiap orang bekerjasama," kata beliau.

Samy Vellu berkata demikian bagi mengulas cadangan bekas naib presiden MIC Datuk V. Govindaraj dan Tan Sri G. Pasamanickam yang mahukan pemimpin dalam MIC mengekalkan status quo pada pemilihan.

Mereka berkata perebutan kedudukan tertinggi dalam parti akan membawa kepada perpecahan dalam parti sebab itu status quo sekarang hendaklah dikekalkan.