525 PATI warga Filipina dihantar pulang
Seramai 525 Pendatang Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal hari ini, kata Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof.
Katanya, mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina.
“Daripada jumlah tersebut 403 orang adalah lelaki dewasa, 102 wanita dan 20 kanak-kanak terdiri daripada 16 lelaki dan empat perempuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sh Sitti Saleha berkata pada 2 Mei ini, MKN Sabah akan menghantar pulang 158 warga Indonesia ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.
Beliau berkata proses penghantaran balik pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal mereka merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani masalah kemasukan PATI ke negeri ini, selain melaksanakan pengusiran PATI.
Kerajaan juga telah mengambil tindakan proaktif dalam usaha mengesan dan menangkap PATI dengan melancarkan pelbagai operasi bersepadu yang dikelolakan oleh MKN, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, katanya.
“Sejak 1990 hingga hari ini, jumlah diusir, termasuk yang pulang secara sukarela, adalah 581,947 orang.
“Jumlah PATI yang telah diusir pada tahun lepas ialah seramai 13,479 orang,” katanya.
Menurut Sh Sitti Saleha, pengusiran yang dikendalikan oleh MKN Sabah bagi tahun ini setakat hari ini seramai 4,115 orang, termasuk 90 orang yang diusir melalui lapangan terbang.
Katanya, sebanyak 19 siri pengusiran PATI di Sabah telah dijalankan tahun ini dan MKN mengingatkan rakyat di Sabah bahawa tanggungjawab membebaskan Sabah daripada PATI tidak harus terletak kepada kerajaan semata-mata.
“ Adalah menjadi satu kesalahan yang serius di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi atau menggaji PATI atau membenarkan PATI berada dalam premis,” katanya.
-- Bernama

