Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

“Pekerja merdekakan Dataran Merdeka!”

Itu laungan aktivis pekerja, KS Bawani yang mengetuai perarakan sempena Hari Pekerja 2019 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

Ia merupakan kejayaan julung-julung kali bagi mereka memasuki padang bersejarah itu setelah permohonan bertahun-tahun ditolak pihak berkuasa.

Terdahulu, peserta perarakan yang rata-ratanya berpakaian merah, bergerak dari Maju Junction menuju ke Dataran Merdeka bermula pada kira-kira jam 10.30 pagi.

Semasa keluar dari Jalan Tuanku Abdul Rahman, pihak polis membenarkan mereka memasuki kawasan Dataran yang pada mulanya ditutup dengan penghadang.

“Berikan tepukan kepada diri sendiri! Kita sedang menuju ke Dataran Merdeka, setelah sekian lama.

“Kaum pekerja telah memerdekakan Dataran Merdeka!” kata Bawani disambut tepukan oleh kira-kira 500 peserta pada perarakan tersebut.

Bawani mengetuai perarakan tersebut bersama seorang lagi aktivis, Khalid Ismath dengan menaiki kenderaan pikap Toyota Hilux.

Mereka turut melaungkan ungkapan seperti “Hidup pekerja”, “Henti diskriminasi,”, “Naik gaji minima" dan “kawal harga barang”.

Sambutan Hari Pekerja itu dianjurkan Jawatankuasa 1 Mei yang disokong 99 organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, antaranya Parti Sosialis Malaysia (PSM), Gabungan Pembebasan Akademik (GPA), Jawatankuasa Rakyat Tertindas (Jerit) dan sebagainya.

Mereka mengemukakan 23 tuntutan, antaranya meningkatkan gaji minima kepada RM1,800, memastikan hak sama rata diberikan kepada pekerja migran, menghentikan diskriminasi kerja berasaskan gender dan orientasi seksual, melindungi kanak-kanak dan lain-lain.

'Terima kasih polis'

Sebaik memasuki Dataran Merdeka, perarakan itu bertembung peserta Acara Larian Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mengambil tempat di kawasan yang sama.

Secara kebetulan, peserta acara larian itu turut mengenakan baju berwarna merah.

Pihak polis kemudian mengarahkan peserta perarakan mengikut jalan pintas menuju ke Medan Pasar, di mana sebahagian wakil organisasi terbabit memberikan ucapan di situ.

Anggota Jawatankuasa 1 Mei, M Nalani berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas kebenaran memasuki kawasan Dataran Merdeka hari ini.

“Sebenarnya sudah beberapa tahun kita cadang untuk buat perarakan di Dataran Merdeka, tapi kita tak pernah dapat tembus. Ini pertama kali.

“Pada awalnya, kami sepatutnya ikut jalan lain di Jalan Tun Perak kerana ada Larian HKL, tapi pihak polis telah memberi kebenaran kita untuk memasuki Dataran. Sebab itu peserta sangat gembira,” katanya selepas perarakan tamat.

Lihat Komen
ADS