Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin masih bermain teka teki ketika diminta mengulas siapa yang bakal dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

Malah, Yeo juga hanya tersenyum ketika diasak pemberita bagi memberi gambaran individu yang akan menggantikan Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh selepas disahkan ditukarkan ke Putrajaya bermula 1 April lepas.

“Belum boleh umum. Tapi kita akan umum dalam beberapa minggu lagi dalam satu sidang media lain.

"Cumanya, saya akan melantik individu yang terbaik dari ibu pejabat bagi menjadi Pengarah JAS Johor, untuk meningkat lagi jentera di Johor dan sekali gus dapat melakukan pembaharuan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Yeo berkata demikian dalam sidang media Seratus Hari Pentadbiran Pakatan Harapan, di Mestecc, Putrajaya.

Pada 5 April lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal dilaporkan berkata pihaknya menerima makluman berhubung pertukaran Mohammad Ezanni, namun tidak mengetahui sebab-sebab pertukaran.

Bagaimanapun, Mohammad Ezanni yang dipetik Bernama menyatakan pertukaran itu disebabkan beliau dipromosikan sebagai Ketua Unit Pengurusan Sisa Toksik dan Pembuangan Berjadual Kebangsaan.

Mengulas lanjut, Yeo yang juga anggota Parlimen Bakri berkata pengarah baru yang bakal dipilih dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan tahap penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai di Johor, khususnya di sekitar kawasan perindustrian Pasir Gudang.

Menurut Yeo, pengarah baru itu juga diberi tempoh dua tahun untuk meningkatkan 100 peratus jumlah denda serta kes yang di bawa ke mahkamah.

Katanya, langkah itu adalah tindak balas kementeriannya untuk menyelesaikan isu 20 sungai di Johor yang tercemar dan dikategorikan antara Kelas Tiga hingga Kelas Lima, selain memastikan tragedi pencemaran kimia Sungai Kim Kim di Pasir Gudang tidak berulang.

“Kita bukan saja nak kawal pengeluaran bahan terlarang daripada kilang berlesen, tetapi juga kilang haram. Oleh itu saya melantik pegawai terbaik di ibu pejabat sebagai Pengarah JAS Johor yang baharu,” katanya mengulas laporan 20 sungai mengalami pencemaran Kelas Tiga sejak 2017, dan ketiadaan usaha memulihkannya bakal mengulangi tragedi Sungai Kim Kim.

Ditanya mengenai langkah membersihkan semua sungai tercemar itu, Yeo berkata, pembersihan sungai bukan di bawah bidang kuasanya sebeliknya di bawah kawalan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

RUU Perlindungan Alam Sekitar

Sementara itu, Yeo berkata kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang Perlindungan Alam Sekitar pada sesi parlimen hujung tahun ini bagi menggantikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 khusus untuk melaksanakan proses penguatkuasaan dan hukuman lebih berat kepada pesalah alam sekitar.

Yeo berkata penggubalan akta baharu itu memfokuskan terhadap peningkatan penguatkuasaan dan perundangan berbanding akta sedia ada yang disifatkan tidak mencukupi untuk mengawal pencemaran yang berlaku kini.

Mengulas lanjut beliau berkata, rang undang-undang itu yang kini masih di peringkat draf dan dijangka mampu menyelesaikan sebarang isu berkaitan pencemaran alam sekitar seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim.

Sebelum ini, seorang pemandu lori dan dua pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melupuskan buangan terjadual dalam kes pencemaran sisa beracun di Sungai Kim Kim yang menyebabkan seramai 5,848 kanak-kanak dan dewasa dirawat sejak 8 Mac lalu.

Lihat Komen
ADS