Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu Mat Sabu solat di Iran: Pensyarah tegur Hanipa
Diterbitkan:  May 3, 2019 6:13 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Tindakan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menunaikan solat berjemaah di Iran memperlihatkan sikap tidak peka terhadap umat Islam negara ini yang mengamalkan mazhab Ahli Sunnah Waljamaah, kata pensyarah ilmu hadis dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaime Ramlee.

Beliau berkata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin tidak sepatutnya mempertahankan rakannya daripada parti Amanah itu.

"Kita berbicara tentang sikap menteri yang tidak peka terhadap sensitiviti sebahagian rakyat Ahlussunnah wal Jamaah dalam negara ini.

“YB selalu mengulas tentang ‘respect’ YB kepada orang lain. Saya ingin ingatkan kepada YB, jangan lupa tanya diri sendiri;

“Aku ini siapa yang respect? Kerana saya takut YB jadi bahan ketawa rakyat jelata,” tulisnya pada hantaran di Facebooknya hari ini.

'Ahli Sunnah totok'

Apatah lagi, kata Rozaime, timbalan menteri itu sanggup menggelarkan dirinya sebagai “totok Ahli Sunnah Wal Jamaah" dalam membela Mohamad Sabu.

Menurut Rozaime lagi, gelaran yang diberikan pemimpin Amanah itu kepada dirinya sendiri sebagai syok sendiri dan seolah-olah berusaha keras untuk mempertahankan tindakan Mohamad yang menunaikan solat di belakang imam fahaman Syiah ketika di Iran.

“Maaf cakap YB, bagi saya gelaran totok Ahlisunnah Wal Jamaah itu sepertinya gelaran syok sendiri. Sendiri rasa, sendiri bagi, sendiri pakai, sendiri perasan.

“Perbuatan ini sememangnya membahagiakan diri sendiri. Moga kita dijauhkan dari perasaan syok sendiri," katanya lagi.

Ini bukan kali pertama Rozaime membuat kenyataan sedemikian kerana pada Ogos 2018, beliau turut mendakwa terdapat seorang menteri dikaitkan dengan fahaman Syiah di negara ini tanpa menyatakan nama menteri tersebut.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu baru-baru ini mengadakan lawatan di Tehran, Iran.

Ketika lawatan kerja rasmi selama enam hari bermula 26 April hingga 1 Mei itu, beberapa gambar ketika beliau sedang menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Tehran tular di media sosial, sehingga menyebabkan netizen menuduhnya sebagai pengikut Syiah.

Gambar itu memaparkan presiden Amanah itu menunaikan solat berjemaah berimamkan ulama Syiah.

Selepas mendapat kecaman daripada netizen, beliau turut dihentam portal Ismaweb yang mendakwanya mempunyai ciri-ciri pengikut Syiah walaupun sebelum ini enggan mengakuinya.

Portal itu melaporkan Ketua Unit Kajian Syiah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Mohammad Ismail yang dipetik berkata, menggesa Mat Sabu ‘mengaku’ bahawa beliau adalah pengikut Syiah kerana telah banyak bukti menunjukkannya.

“Beliau takkan mengaku walaupun kita suruh. Itu adalah tanda-tanda pengikut Syiah.

“Apa tujuan beliau solat di belakang berimamkan orang Syiah?,” katanya.

Namun, Hanipa mempertahankan tindakan Mat Sabu itu sambil mengkritik mereka yang memperbesarkan isu tersebut.

“Lekehnya kita kat sini. Katanya foto YB Menhan (Menteri Pertahanan) solat Jumaat di Universiti Tehran jadi isu besar.

“Alahai.. Saya pun pernah solat Jumaat di situ sebelum ni. Saya ni totok mazhab Sunni (Sunnah Wal Jamaah). Masa saya solat itu ramai lagi orang Sunni kat situ solat ikut mazhab depa.

“Tak ada seorang pun orang Syiah yang minta kami solat ikut mazhab depa,” katanya melalui hantaran di Facebook beliau semalam.

Hanipa turut mencabar mereka yang mengecam gambar tersebut supaya bertemu dengan ulama di negara itu dan mengatakan mereka sebagai sesat.

“Yang rasa hebat sangat pergilah jumpa ulama Iran kat Iran kata mu ni sesat. Baru lejen,” katanya.

Untuk rekod, pada Disember 2013, Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu merupakan menteri dalam negeri berkata kementeriannya memberi kuasa kepada menteri di JPM Jamil Khir Baharom untuk mengambil tindakan kepada Mat Sabu yang didakwanya berfahaman Syiah.

Lihat Komen
ADS