Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bapa Altantuya hilang sabar diasak soalan 'gambar Paris'

Shaariibuu Setev hari ini gagal mengawal kemarahannya apabila disoal tentang dakwaan gambar anaknya, Altantuya Shaariibuu bersama-sama penganalisis Abdul Razak Baginda dan timbalan perdana menteri ketika itu, Najib Razak di Paris.

Memberi keterangan dalam kes saman sivil RM100 juta oleh keluarganya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shaariibuu malah perlu dipujuk oleh hakim Vazeer Alam Mydin Meera agar memberi kerjasama terhadap peguam selepas dia enggan lagi menjawab soalan.

Pada mulanya peguam Razak Baginda, Manjeet Singh Dhillion bertanya sama ada dia pasti gambar tersebut serupa dengan gambar palsu yang tersebar di media sosial ketika itu.

Shaariibuu bertegas anak perempuannya menunjukkan gambar itu kepada sebelum ke Malaysia pada 2006.

"Saya telah lihat sendiri gambar asal," katanya.

Dia bagaimanapun tidak dapat mengingat maklumat khusus daripada gambar itu dan berkata melihatnya sekali sahaja.

Ketika ditanya sama ada dia tahu Altantuya dan Razak Baginda menjalinkan hubungan, dia membalas: "Itu antara mereka."

Peguam Kanan Persekutuan Norinna Bahadun yang mewakili kerajaan kemudian turut bertanya tentang gambar yang sama.

Norinna: Apa saiz gambar itu?

Shaariibuu: Ia kira-kira (saiz) standard, 8x12 sentimeter.

Norinna: Selepas kematian Altantuya, adakah anda pindah ke rumahnya atau anaknya pindah ke rumah anda?

Shaariibuu: Saya pindah ke rumah Altantuya untuk menjaga anak-anaknya.

Norinna: Adakah anda cuba untuk melihat negatif gambar itu?

Shaariibuu: Tidak.

Norinna: Saya mengajukan gambar itu tidak wujud.

Shaariibuu: Saya tak setuju.

Shaariibuu kemudian tampak kian kecewa dan soalan-soalan yang diajukan.

"Anda semua bertanyakan kepada saya soalan yang sama sekian lama. Kenapa tidak dipanggil saja orang di dalam gambar itu dan tanya mereka sendiri?"

Dia kemudian enggan lagi menjawab soalan berkenaan gambar itu, sehingga dipujuk hakim.

Peguamnya, Ramkarpal Singh kemudian bertanya sama ada benar tiada gambar asal seperti yang didakwa defendan.

"Ketika saya tanya dia (Altantuya) mengapa dia mahu ke Malaysia, dia tunjukkan gambar itu.

"Relevankah pada saya sama ada ia (gambar) asal atau tidak? Jika saya tahu kepentingan gambar itu, saya sudah simpannya dulu," katanya lagi.

Burmaa Oyunchimeg

Januari lalu sepupu Altantuya, Burmaa Oyunchimeg dalam keterangannya berkata gambar palsu tular yang menunjukkan Altantuya bersama-sama Razak Baginda dan Najib sebagai "photoshop terburuk" yang pernah dilihatnya.

Bagaimanapun Burmaa berkata dia telah melihat gambar sebenar yang diambil di Paris pada 2005.

Prosiding disambung pada 13 Mei ini.

Lihat Komen
ADS