Mahkamah bebaskan MP Pasir Gudang
Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga merupakan pengerusi PKR Johor Hassan Abdul Karim dibebaskan sepenuhnya daripada dakwaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Ketika dihubungi, peguamnya, Latheefa Koya berkata hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Ab Karim Ab Rahman mendengar rayuan anak guamnya semalam.
Sementara itu, Hassan memberitahu Malaysiakini bahawa hakim memutuskan bahawa mahkamah rendah telah tersilap dalam memberikannya pelepasan bukan pembebasan.
Julai lepas, pihak pendakwa telah bersetuju untuk menarik balik dakwaan hasutan Hassan, namun Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Zamzani Mohd Zain hanya membenarkan pelepasan, yang bererti Hassan mungkin menghadapi dakwaan lagi.
Hassan dituduh membuat kenyataan menghasut yang disasarkan ke atas istana Selangor melalui beberapa kenyataan di Twitter pada 2014 berhubung kelewatan pelantikan menteri besar baru.

