Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri tak tahu kenapa Perintah Menteri dikeluarkan dari warta

Menteri Undang-undang, Liew Vui Keong tidak tahu mengapa Perintah Menteri -Menteri Kerajaan Persekutuan dikeluarkan selepas diwartakan pada Januari tahun ini.

Malaysiakini melihat salinan tersebut yang menyenaraikan tugas menteri-menteri persekutuan dan telah diwartakan pada 22 Januari 2019.

Bagaimanapun, salinan itu tidak lagi dijumpai.

Semakan pada Warta Kerajaan Persekutuan menunjukkan, selepas kerajaan bertukar pada PRU lalu, hanya jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri diwartakan pada 22 Mei tahun lalu.

Pewartaan sesuatu jawatan dibuat untuk menjadikan tugas seseorang menteri serta agensi dan jabatan yang ada bawah kementeriannya wujud secara rasmi.

Ketika ditemui di Sandakan hari ini, Liew ditanya pihak media mengapa Salinan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan tidak lagi terdapat dalam warta.

"Saya tidak tahu. Anda perlu tanya ketua setiausaha negara," katanya.

Liew baru-baru ini dalam satu wawancara mendedahkan walaupun ketua setiausaha negara telah meluluskan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan bagi kerajaan PH, namun perkara itu belum diwartakan mengikut Akta Fungsi Menteri 1969.

PAS baru-baru ini turut menggesa kerajaan memberi penjelasan mengapa jawatan menteri masih tidak diwartakan selepas setahun PH mengambil alih kerajaan.

Sekiranya gagal memberi jawapan memuaskan, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, kabinet harus "bertanggungjawab sepenuhnya dan segera meletakkan jawatan."

Menjawab kritikan PAS, Liew berkata Perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan telah siap dan sedang menunggu untuk diserahkan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Ia hanya mengambil kira beberapa agensi tambahan yang belum diwartakan. Itu sahaja," katanya.

Beliau menjelaskan terdapat proses untuk menentukan agensi mana yang harus diletakkan di bawah sesuatu kementerian.

Lihat Komen
ADS