'Tamparan hebat buat 'bossku'
PRK SANDAKAN | Kemenangan DAP pada pilihan raya kecil (PRK) Sandakan adalah "tamparan hebat" kepada bekas perdana menteri Najib Razak, kata pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang.
Menurutnya, kemenangan Vivian Wong sekali gus melenyapkan tiga kekalahan dialami Pakatan Harapan (PH) di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.
"Dan ini merupakan satu tamparan hebat kepada kempen "malu apa bossku" oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak tahu malu," kata Lim dalam satu kenyataan malam ini.
Najib pertama kali menerima jolokan 'bossku' semasa pilihan raya kecil Cameron Highlands.
Sejak itu beliau dianggap sebagai faktor yang menyumbang kepada kemenangan BN dalam tiga pilihan raya kecil.
Beliau turut menerima sambutan hangat ketika tiba di Sandakan semalam.
Bagaimanapun, beliau calon DAP berjaya mempertahankan kerusi Sandakan dengan majoriti 11,521 undi, menewaskan calon PBS Linda Tsen dan tiga calon bebas.
Tsen hanya memperoleh 4,491 undi.
Sementara itu, dalam ucapan kemenangannya, Wong memberi penghormatan kepada mendiang bapanya, Stephen Wong, yang menyandang kerusi itu sebelum ini.
"Tanpa dia, saya tidak akan ada di sini untuk bercakap dengan anda semua. Dia menggilap saya untuk menjadikan saya seperti hari ini, seorang wanita muda yang kuat. Kemenangan hari ini bukan hanya kemenangan untuk diri saya, tapi untuk ayah saya.
"Perkara pertama yang saya akan lakukan ialah melawat pusara ayah saya esok dan secara peribadi mengucapkan terima kasih kepadanya," katanya pada sidang akhbar selepas kemenangannya diumumkan malam ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dan kepada semua pihak yang telah berkempen untuknya serta pengundi di Sandakan.
Wong berkata beliau telah menerima beberapa aduan dari penduduk setempat dan akan berusaha memperbaiki masalah di kawasan itu.

