Polis tahan empat anggota Geng 18 di Petaling Jaya
Empat lelaki dipercayai anggota kongsi gelap Geng 18 ditahan dalam Ops Cantas di sebuah pusat hiburan di Dataran Mentari, Petaling Jaya dekat sini, awal hari ini.
Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, DSP Azmi Shukor berkata kesemua mereka yang berusia 33 hingga 43 tahun dan mempunyai tatu pertubuhan haram itu ditahan pukul 1.15 pagi.
“Berdasarkan pengakuan lisan kesemua suspek mengaku terlibat dengan Geng 18 dan ada antara mereka mempunyai rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya menahan dua wanita Indonesia yang juga pelayan pelanggan (GRO) di lokasi yang sama.
“Turut ditahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Bangladesh yang juga penjaga dan pekerja di pusat hiburan itu.
“Polis turut merampas beberapa minuman keras dan wang tunai berjumlah RM3,619 dan siasatan mendapati premis itu mempunyai lesen,” katanya.
--Bernama

