Paling Popular
Terkini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini digesa menyediakan tujuh kerusi parlimen di kawasan majoriti pengundi India untuk membolehkan masyarakat terbabit mendapat wakil politik lebih ramai.

Pasukan Tindakan Hak Hindu (Hindraf 2.0) berkata kerusi yang wajar diadakan untuk itu ialah di Padang Serai, Batu Kawan, Ipoh Barat, Kota Raja, Port Dickson, Tebrau dan Cameron Highlands.

"Tidak seprti masyarakat sivil di Barat apabila kumpulan majoriti bercakap untuk hak minoriti, kuasa politik dan ekonomi Melayu dan Cina di negara ini jarang bersuara untuk orang India yang miskin.

"Selama 62 tahun mereka - sama ada dari BN datau PH - tidak bersuara untuk orang India," kata ketua umum Hindraf 2.0, P Uthayakumar semasa mengadakan perhimpunan di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod adik Uthayakumar, P Waythamoorthy, ketika ini dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab dalam hal ehwal perpaduan.

Kata Uthayakumar ketika ini memang ada anggota parlimen daripada masyarakat India namun tidak dapat bersuara untuk kaum itu kerana dimenangkan oleh undi orag Cina dan Melayu.

"Tidak ada suara yang benar-benar bebas, mereka terpaksa mengikut rentak tuan politik mereka yang berbangsa Melayu dan Cina," katanya.

Justeru kata Uthayakumar kerusi yang khusus di kawasan majoriti pengundi India wajar diadakan untuk membolehkan wakil rakyat - tanpa mengambil kira latar kaum mereka - diperkasakan untuk membawa suara masyarakat terbabit.

Katanya langkah itu boleh dibuat dengan mengurangkan jumlah pengundi bukan India di kerusi terbabit.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS