Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaharudin: MB T'ganu, Khalil bukan ahli 'kartel dedak'
Diterbitkan:  May 13, 2019 12:26 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Menantu presiden PAS Zaharudin Muhammad tampil menafikan dua nama yang dikaitkan dalam senarai ahli 'kartel dedak' yang didedahkannya sebelum ini.

Melalui hantaran Facebook hari ini, Zaharudin menafikan “Dr Hussam II” dan “Mr. KT” dalam senarai yang didedahkannya merujuk kepada Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan adik iparnya yang juga Ketua Pemuda PAS, Khalil Abdul Hadi.

Zaharudin juga menuduh Amanah bertanggungjawab dalam mengaitkan nama-nama yang ada dalam senarai itu.

“Ini palsu. Tak sama dengan apa yang saya maksudkan.

"Takkan menteri besar Terengganu terlibat? Takkan adik ipar ana (saya) sendiri terlibat. Jangan percaya (dakwaan) Amanah,” tulisnya.

Dalam pendedahannya berhubung 'kartel dedak' sebelum ini, Zaharudin menyenaraikan lima ahli kumpulan dalam PAS berkenaan tanpa menyebut nama sebenar mereka.

Zaharudin menyenaraikan lima ahli itu sebagai "Dr Hussam II (kepala no 1)", "Mr NT", "Mr KT", "Mr KH" dan individu yang kelima sebagai “semua dah tahu.”

Susulan itu, tersebar senarai nama yang mengaitkan lima ahli itu dengan pimpinan PAS yang didakwa dimaksudkan Zaharudin.

Tiga yang lain dalam senarai itu, iaitu "Mr NT", "Mr KT" dan "semua orang tahu" didakwa masing-masing merujuk kepada Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan, Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Ghazali, dan AJK PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Pada 10 Mei lalu, Zaharudin mendedahkan wujudnya "kartel dedak", dipercayai merujuk kepada kumpulan dalam PAS yang didakwa menerima dana daripada pihak tertentu.

Lihat Komen
ADS