Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Razak beritahu tak suruh Azilah bunuh Altantuya - Setiausaha

Siti Aisyah Mohd Azlan, setiausaha kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa majikannya pernah memberitahunya bahawa dia tidak mengarahkan Azilah Hadri untuk membunuh Amina (Altantuya).

Aisyah, 36 tahun hadir sebagai saksi dalam kes saman sivil RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya terhadap Razak, kerajaan Malaysia serta bekas anggota komando polis Azilah dan Sirul Azhar Umar.

SIti Aisyah memberitahu mahkamah selepas peguam plaintif, Sangeet Kaur Deo menyoalnya mengenai pertemuan Azilah dan Razak yang berlaku di pejabat majikannya itu pada 2006.

Untuk rekod, model Mongolia itu dikenali sebagai Amina yang telah disahkan bapanya Shaariibuu Setev ketika perbicaraan kes jenayah pembunuhan Altantuya pada 2007.

Sangeet: Selain daripada Amina, adakah sesiapa yang berkaitan dengan kes ini pernah datang ke pejabat kamu?

Siti Aisyah: Ya. Ada.

Sangeet: Siapakah orang itu?

Siti Aisyah: Defendan ketiga (Razak) ada menghubungi saya melalui telefon di pejabat mengatakan seseorang pegawai dari UTK akan datang berjumpa dengan beliau.

Sangeet: Bilakah Razak maklumkan kepada kamu

Siti Aisyah: Pada 18 Oktober 2006.

Siti Aisyah kemudian memberitahu mahkamah di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera bahawa Razak dan pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) polis mengadakan pertemuan di bilik mesyuarat selama setengah jam. Pada waktu itu, Aisyah berkata tidak tahu lagi nama pegawai polis berkenaan.

Menjawab soalan Sangeet mengenai bagaimana dia tahu Nama Azilah, Siti Aisyah berkata Razak mendedahkan identiti pegawai tersebut apabila majikannya memberitahu kepadanya "sesuatu yang buruk telah berlaku" pada 7 November 2006.

Sangeet: Pada masa itu, adakah kamu tahu jika orang UTK tersebut iaitu defendan pertama (Azilah)?

Siti Aisyah: Tidak saya hanya mengetahui nama beliau selepas kematian mangsa, apabila dimaklumkan oleh defendan ketiga (Razak Baginda).

Sangeet: Adakah Razak berjumpa dengan Azilah pada hari itu.

Siti Aisyah: Ada.

Sangeet: Di manakah Razak berjumpa dengan Azilah?

Siti Aisyah: Di bilik mesyuarat.

Sangeet: Berapa lama Azilah dan Razak dalam bilik tersebut?

Siti Aisyah: Setengah jam.

Ketika Siti Aisyah ditanya sekiranya Razak memberitahu bagaimana majikannya itu tahu Azilah yang membunuh Amina, setiausaha itu berkata tidak tahu.

Sangeet: Apakah yang Razak cakap dengan kamu ketika itu?

Siti Aisyah: Beliau memberitahu saya bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku.

Sangeet: Apakah sesuatu yang buruk yang Razak maksudkan?

Siti Aisyah: Defendan ketiga berkata Amina telah mati.

Sangeet: Seterusnya?

Siti Aisyah: Saya tanya siapa yang lakukan.

Sangeet: Apakah jawapan Razak?

Siti Aisyah: Beliau kata Azilah yang lakukan.

Sangeet: Siapakah 'Azilah' yang defendan ketiga (Razak) katakan?

Siti Aisyah: Pegawai UTK yang telah hadir di pejabat kami pada 18 Oktober 2006 itu iaitu defendan pertama.

Terdahulu, Siti Aisyah, ketika memberi keterangan berkata dia masih bekerja dengan Razak sebagai setiausaha di pejabatnya, Nexus Nexus (M) Sdn Bhd, di Jalan Ampang.

Ini bukan kali pertama Siti Aisyah menjadi saksi untuk kes Altantuya. Dia juga dipanggil pada tahun 2007.

Altantuya dipercayai dibunuh di pinggir kawasan Shah Alam pada 19 Oktober 2006, dengan mayatnya yang diledakkan oleh bahan letupan tentera.

Sirul dan Azilah, kedua-duanya pengawal peribadi kepada timbalan perdana menteri ketika itu telah disabitkan dengan pembunuhan itu, sementara Razak dibebaskan dari tuduhan.

Perbicaraan akan bersambung esok, 14 Mei.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS