Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sorotan 1: Kes SRC Najib setakat ini
Diterbitkan:  May 13, 2019 10:14 PM
Dikemaskini: Sep 3, 2019 12:59 PM

PANDUANKINI | Pendengaran kes terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan SRC International telah berlangsung selama 18 hari dan perbicaraan menjadi semakin teknikal.

Pada panduan KiniGuide, Malaysiakini cuba menjawab beberapa soalan yang biasa mengenai bagaimana pendakwaan mengendalikan kesnya di mahkamah.

Perbicaraan ini tentang apa?

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

 Apa itu SRC International?

SRC International dibentuk pada Januari 2011 sebagai anak syarikat 1MDB, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, "SRC" bermakna "strategic resource company" dan tujuan yang dinyatakan untuk melabur dalam industri logam dan tenaga yang menjadi kepentingan negara.

Pemilikan SRC International ditukar daripada 1MDB kepada MOF Inc pada 15 Februari 2012. Tiada maklumat mengenai aktiviti perniagaan syarikat pada tahun kebelakangan ini.

Apa peranan Najib dalam SRC International?

Najib merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB ketika tempoh yang disebut. Menurut perlembagaan syarikat 1MDB yang tertera dalam Artikel 117 (c) Memorandum and Articles of Association, persetujuan perdana menteri diperlukan bagi "sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan)."

Perlembagaan kedua-dua 1MDB dan SRC International juga menyatakan perdana menteri merupakan satu-satunya pihak yang bertanggungjawab dalam pelantikan dan pemecatan pengarah syarikat. 

Persetujuan beliau turut diperlukan untuk meminda perlembagaan kedua syarikat berkenaan.

Bagaimana SRC International dibiayai?

Mahkamah telah mendengar SRC International mempunyai modal berbayar sebanyak RM2. 

SRC pertama kali memohon geran sebanyak RM3 bilion daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan mengemukakan kertas cadangan tiga muka surat. Bagaimanapun kertas cadangan itu ditolak.

Sebaliknya, EPU menghulurkan geran sebanyak RM20 juta untuk membiayai permulaan syarikat itu. SRC International kemudiannya beralih kepada KWAP untuk memohon pinjaman RM3.95 bilion.

Kemudian bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap (KWAP), Amirul Imran Ahmat, 39 (gambar), memberitahu mahkamah dia mencadangkan pinjaman tidak lebih daripada RM1 bilion untuk menghadkan dana yang terdedah.

Selanjutnya, panel pelaburan KWAP bersetuju untuk memberi pinjaman RM2 bilion selepas menerima jaminan kerajaan untuk membayar pinjaman sekiranya SRC International gagal melunaskan hutangnya.

Pengurus Unit Rentas Pusat AmBank, Wedani Senen memberi keterangan wang berkenaan telah dipindahkan pada Ogos 2011.

SRC International kemudian memohon pinjaman sebanyak RM2 bilion lagi dari KWAP. Pengurus cawangan Ambank Raja Chulan R Uma Devi memberi keterangan bahawa wang tersebut telah disalurkan pada 28 Mac 2012.

Perhatikan bahawa bahagian kedua dipindahkan selepas MOF Inc mengambil alih pemilikan SRC International.

Kenapa SRC International memerlukan RM4 bilion?

Menurut keterangan saksi, pinjaman pertama sebanyak RM2 bilion adalah untuk "modal kerja" dan "pelaburan am", manakala pinjaman kedua RM2 bilion pula untuk "modal kerja" dan aktiviti pelaburan dalam sumber asli.

Bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap (KWAP), Amirul Imran Ahmat berkata cadangan pinjaman kedua, bertarikh 27 Mac 2012, menyatakan bahawa SRC International memerlukan wang untuk "aktiviti pelaburan umum".

Ini dipinda kepada "aktiviti pelaburan dalam sumber semula jadi" berikutan surat bertarikh 18 Mei 2012 oleh Kementerian Kewangan, yang memetik keputusan mesyuarat kabinet pada 18 Februari tahun itu.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, SRC International telah melabur dalam tiga syarikat di luar negara.

Kerajaan tidak mengumumkan hasil pelaburan ini, manakala SRC International telah muflis dan dana pembayar cukai kini digunakan untuk membayar pinjaman kepada KWAP.

Adakah keterangan di mahkamah bahawa Najib menerima RM42 juta?

Ya, Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, R Uma Devi memberi keterangan RM37 juta dipindahkan ke akaun Najib (nombor akhhir 880) dalam dua transaksi pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Saksi juga memberi keterangan, akaun Ambank Najib (nombor akhir 906) menerima RM5 juta. 

Jumlah keseluruan sebanyak RM42 juta. Keterangan saksi ini tidak dibantah di mahkamah.

Semua tiga transaksi berasal dari Ihsan Perdana Sdn Bhd - yang dikatakan menjadi sayap tanggunjawab sosial korporat bagi SRC International.

Daripada keterangan tersebut, Ihsan Perdana telah menerima RM20 juta secara langsung daripada SRC International pada 12 Disember 2014 dan juga RM50juta daripada Gandingan Mentari Sdn Bhd antara DIsember 2014 dan Fenruari 2015.

Gandingan Mentari adalah salah satu anak syarikat SRC International.

Apakah yang diketahui mengenai Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana dari perbicaraan ini?

Tidak banyak yang diketahui mengenai dua syarikat ini. Uma Devi (gambar, atas) memberi keterangan bahawa Gandingan Mentari membuka akaun di AmBank cawangan Raja Chulan pada 23 Julai 2014. Najib membuka bebrapa akaun di cawangan bank yang sama. 

Uma Devi juga memberitahu mahkamah Gandingan Mentari disifatkan sebagai akaun "berisiko tinggi."

Ihsan Perdana mempunyai akaun Affin Bank. Pengurus cawangan Affin Bank di The Curve, Norhayati Mohd Yunus memberi keterangan bahawa wang dari akaun ini yang memindahkan RM42 juta kepada akaun Najib (dengan nombor akhir 906). Keterangan ini juga tidak dicabar di mahkamah.

Penandatangan sah untuk akaun Ihsan Perdana ialah pengarah urusannya Shamsul Anwar Sulaiman dan Abdul Aziz Ismail. Shamsul Anwar pernah menjadi timbalan ketua Umno Bahagian Sungai Siput dan bekas ahli exco Pemuda Umno.

Apa pula transaksi Najib ke akaun-akaun lain?

Fokus perbicaraan mengenai kemasukan RM42 juta ke dalam akaun Najib (dengan nombor akhir 906). 

Bagaimanapun, perbicaraan turut mendengar keterangan bahawa jutaan ringgit dipindahkan daripada Putra Perdana Sdn Bhd dan Permai Binaraya Sdn Bhd ke dalam akaun AmBank lain milik Najib (dengan nombor akhir 880 dan 898).

Panduan KiniGuide ini hanya akan memperincikan keterangan mengenai RM42 juta berkenaan, jaminan kerajaan, pinjaman daripada KWAP sebanyak RM4 bilion, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram sebagaimana yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

Adakah pendakwaan menunjukkan bukti penyalahgunaan kuasa?

Beberapa keterangan dengan jelas menunjukkan bagaimana Najib menggunakan kuasanya untuk mempengaruhi KWAP dan meyakinkan kabinet untuk memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman tetapi terserah kepada mahkamah untuk memutuskan ia sebagai satu bentuk salah guna kuasa.

Adakah pendakwaan menunjukkan bukti pengubahan wang haram dan rasuah?

Tidak ada. Pendakwaan kelihatan masih belum sampai ke tahap itu lagi.

Apa yang Najib belanjakan?

Keterangan daripada pegawai bank mengesahkan Najib menandatangani siri cek dengan jumlah keseluruhan RM10,776,514 kepada 15 individu atau entiti di antara 21 Januari ke 26 Februari 2015.

Wang itu datangnya daripada akaun dengan nombor akhir 906 dan 898.

Pegawai bank juga mengesahkan RM3,282,734.16 dari akaun Najib (dengan nombor akhir 906) digunakan untuk membayar dua bil kad kredit platinum. Mahkamah tidak dijelaskan siapa pemilik kad kredit itu.

Perbicaraan akan bersambung semula pada jam 9 pagi esok, 14 Mei 2019. Malaysiakini akan membawakan laporan langsung kemaskini perbicaraan kes Najib ini.

KiniGuide turut dilaporkan bersama oleh Hidir Reduan Abdul Rashid dan Hariz Mohd.

 

Lihat Komen
ADS