Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak memberi kuasa kepada Nik Faisal Ariff Nik Othman Arif Kamil untuk menguruskan lima akaunnya dengan AmBank.

Dalam keterangan semasa perbicaraan kes melibatkan SRC International Sdn Bhd yang masuk hari kelapan hari ini, pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, R Uma Devi berkata, Nik Faisal disenaraikan oleh Najib sebagai individu yang diberi kuasa ke atas akaun itu.

Beliau memberi keterangan bahawa surat yang dikeluarkan oleh Najib kepada bank itu menyatakan pengarah SRC International Sdn Bhd itu dibenarkan menandatangani cek sehingga RM250,000, mengutip buku cek yang dipautkan ke akaunnya, dan meminta penyata akaun.

"Saya mengesahkan bahawa Datuk Seri Najib Abdul Razak telah melantik Nik Faisal Ariff Kamil sebagai kakitangan yang diberi kuasa untuk nombor akaun 201200220090481 dan 20112022009694, dan telah membenarkan Nik Faisal mengemukakan permintaan mengenai akaun termasuk bakinya, dan mengesahkan cek berjumlah sehingga RM250,000, "katanya ketika pemeriksaan utama oleh DPP Suhaimi Ibrahim.

Uma Devi adalah saksi ke-21 pendakwaan dalam perbicaraan pengubahan wang haram terhadap Najib yang bermula pada 15 April.

Beliau memberi keterangan bahawa Najib telah membuka tiga akaun baru dengan cawangan bank itu pada 31 Julai 2013 dan menamakan Nik Faisal sebagai kakitangan yang diberi kuasa.

Bank itu juga menerima surat dari Nik Faisal pada hari yang sama untuk mengarahkan semua penyata bank, surat-menyurat dan buku cek yang disediakan diambil secara peribadi olehnya.

Menurut keterangan Uma Devi, dua akaun awal (berakhir 90481 dan 09694) kemudian ditutup atas arahan Najib pada 26 Ogos 2013.

Beliau berkata surat Najib yang mengarahkan penutupan akaun itu turut memberi arahan agar bank itu memindahkan baki wang sebanyak RM82.63 dan RM12,436,711.83 ke salah satu akaun baru (nombor 20112022011880).

RM64 juta dimasukkan ke akaun Najib

Semasa perbicaraan hari ini, mahkamah diberitahu terdapat satu daripada tiga akaun bank yang dibuka oleh Najib dengan Ambank cawangan Jalan Raja Chulan mempunyai wang sebanyak RM64 juta yang dimasukkan antara 8 Julai 2014 dan 10 Februari 2015.

Ini termasuk sejumlah RM27 juta daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd, yang merupakan syarikat yang menjalankan kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk SRC International.

Menurut Uma Devi (gambar bawah), antara tempoh pembukaan akaun bank (berakhir 1880) dan 9 Mac 2015, penyata bank juga menunjukkan terdapat lima transaksi di mana wang berjumlah RM63.28 juta telah dipindahkan dari akaun milik Najib.

Ini termasuk transaksi pada 29 Dis 2014, di mana RM27 juta dipindahkan ke akaun Permai Binaraya Sdn Bhd. 

Permai Binaraya adalah anak syarikat Putra Perdana Construction Sdn Bhd.

Dalam keterangan awalnya, Uma Devi memberitahu mahkamah bahawa SRC International telah mengarahkan bank itu memindahkan RM35 juta dari akaunnya ke akaun Malayan Banking Putra Perdana pada 8 Julai 2014.

"Saya mengesahkan bahawa Ambank telah menerima surat daripada SRC International, yang ditandatangani oleh Nik Faisal Ariff dan Datuk Suboh Md Yassin, bertarikh 8 Julai 2014 mengarahkan AmBank memindahkan RM35 juta dari akaun bernombor 2112022010650 yang dimiliki oleh SRC International untuk dimasukkan ke Malayan Banking yang dimiliki oleh Putra Perdana Construction Sdn Bhd, "katanya.

RM40 juta dari SRC 

Menurut keterangan Uma Devi, penyata bank menunjukkan sejumlah RM40 juta telah dipindahkan antara tiga akaun bank pada 24 Dis 2014 antara SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana.

SRC International dan Gandingan Mentari mempunyai tandatangan pihak yang diberi kuasa yang sama, iaitu Nik Faisal Ariff dan Suboh Md Yassin.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Ambank telah diarahkan pada 11 Ogos 2014 untuk mengeluarkan RM3.282 juta dari akaun bank milik Najib untuk membayar dua kad kredit.

Bagaimanapun, tidak disebutkan siapa pemilik kad kredit ini atau apa perbelanjaan yang dibuat.

Selain urus niaga ini, Uma Devi juga memberitahu mahkamah mengenai pelbagai urusan pemindahan wang yang dibuat antara tiga akaun Ambank yang dibuka oleh Najib pada 31 Julai 2013.

Urusniaga ini dibuat berdasarkan arahan Nik Faisal Ariff, katanya.

Uma Devi memberi keterangan bahawa salah satu akaun, nombor akaun yang berakhir pada 11906, adalah akaun yang diberikan kemudahan mengeluarkan cek oleh bank berkenaan.

Semasa perbicaraan hari ini, beliau memberitahu mahkamah mengenai 13 cek yang telah dikeluarkan dari akaun itu pada tahun 2015 berjumlah RM7 juta.

Antara penerima cek itu ialah Vital Spire Sdn Bhd, Umno Pulau Pinang dan Umno Johor Bahru, Zulkarnain & Co, Centre For Strategic Engagement Sdn Bhd, UPKO, Pemegang Amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak dan Manisah Othman.

Perbicaraan akan diteruskan esok dengan Uma Devi dijangka merneruskan keterangan sebagai saksi.

Lihat Komen
ADS