Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar UTM jumpa kementerian bincang isu kenaikan yuran

Sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini mengadakan perjumpaan dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi berbincang isu kenaikan yuran semester bagi Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

Untuk rekod, kenaikan yuran itu dilaksanakan sejak empat tahun lepas.

Presiden MJIIT Voices, Tan Cheng Siong, 22 berkata perjumpaan berkenaan adalah usaha susulan oleh mahasiswa selepas protes April lalu berhubung isu sama.

“Kami lihat tiada respons dari pihak universiti selepas pemberian memorandum susulan protes itu.

“Jadi kami buat keputusan untuk ketengahkan isu ini agar suara kami didengari,” kata Tan ketika sidang media selepas perjumpaan bersama pihak kementerian di Putrajaya.

Terdahulu, sekumpulan mahasiswa UTM kampus Kuala Lumpur berhimpun di pusat pengajian itu bagi menyatakan bantahan terhadap yuran semester yang dinaikkan sejak 2015.

Yuran semester bagi MJIIT di UTM dikatakan dinaikkan dari RM945 kepada RM5, 000.

Mengulas lanjut, Tan berkata semua memorandum yang ditandatangani mahasiswa, borang yuran universiti dan resit pembayaran yuran telah diberi kepada pegawai kementerian untuk siasatan lanjut.

“Kami telah berikan semua dokumen dan mereka kata (pegawai kementerian) akan teliti terlebih dahulu,” katanya.

Menurut Tan, perjumpaan itu dijalankan selama satu jam dan pihak kementerian juga memberi kerjasama yang baik kepada mereka.

Pada April lalu, pengurusan UTM menjelaskan bahawa yuran MJIIT tidak akan berubah kerana institut itu adalah sebuah entiti yang berautonomi dan tidak mendapat peruntukan operasi daripada kerajaan.

Sementara itu, pegawai KPM, Abdul Hannan Khairy, 26, berkata pihaknya akan mengaturkan perjumpaan dengan pihak UTM bagi mendengar penjelasan dari pihak pengurusan universiti.

“Saya sudah mendengar apa masalah mahasiswa dan saya akan teliti kembali untuk lihat apa yang boleh dibantu.

“Namun saya akan akan berjumpa dgn pihak UTM dalam masa terdekat ini untuk mendengar kata mereka pula,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS