Paling Popular
Terkini
story images
story images

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang, Phoong Jin Zhe, 30, dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah yang baru.

Phoong mengambil portfolio Frankie Poon Ming Fung yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri yang baharu berikutan kematian penyandangnya, Stephen Wong Tien Fatt.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini turut mengumumkan pelantikan Bendahari DAP Sabah Loh Ee Eng sebagai Adun Dilantik yang baru dan akan mengangkat sumpah pada Selasa depan.

Katanya tiada rombakan Kabinet dilakukan dan pelantikan dua jawatan menteri itu bagi mengisi kekosongan jawatan yang ada.

Pelantikan tersebut dipersetujui setelah perbincangan diadakan dengan pimpinan DAP negeri dan pusat, katanya.

Menurutnya pelantikan menteri bagi mengisi kekosongan di Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat itu dibuat lewat selepas kematian mendiang Wong yang juga Pengerusi DAP Sabah pada 28 Mac lepas bagi memberi laluan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan pada 11 Mei.

Beliau yakin pelantikan Phoong sebagai Menteri Belia dan Sukan sesuai dengannya sebagai orang muda yang ada keupayaan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

Poon yang juga ADUN Tanjung Papat di Sandakan merupakan Pemangku Pengerusi DAP Sabah manakala Phoong yang dikenali dengan panggilan Ginger merupakan Setiausaha Publisiti DAP Sabah.

Mendiang Wong meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Queen Elizabeth 1 Kota Kinabalu.

- Bernama 

Lihat Komen
ADS