Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MB tak dapat maklumat betul status kawasan Orang Asli'
Diterbitkan:  May 25, 2019 6:55 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Badan Peguam Malaysia menyanggah kenyataan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu bahawa perobohan sekatan Orang Asli di Kampung Cunex, Gerik Perak dijalankan mengikut undang-undang.

Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata Ahmad Faizal tidak mendapat maklumat yang betul berkenaan status kawasan itu apabila mendakwa ia belum mendapat pengiktirafan sebagai tanah adat oleh kerajaan negeri dan Jabatan Peguam Negara.

“Apa yang dikesalkan, Ahmad Faizal merestui perobohan sekatan tersebut dengan hujahnya bahawa kegiatan pembalakan dan sekatan itu dilakukan atas tanah negeri dan aktiviti pembalak menepati undang-undang.

“Dengan menyatakan begitu (bahawa kerajaan negeri masih belum mengiktiraf kawasan tersebut sebagai tanah adat Orang Asli), menteri besar nampaknya tidak mendapat maklumat yang betul dalam mengemukakan alasan undang-undangnya, dan (hujahnya itu) mengelirukan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mahkamah Malaysia telah mengiktiraf undang-undang am mengenai hak Orang Asli terhadap tanah yang mereka diami sejak turun-temurun.

Fareed turut memetik beberapa kes melibatkan Kerajaan Johor lawan Adong Bin Kuwau (1998), Kerajaan Johor lawan Sagong Bin Tasi (2005) dan Ketua Pengarah Jabatan kebajikan Orang Asli (kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli atau Jakoa) lawan Mohamad Bin Nohing (2015).

Oleh itu, tambah Fareed, kenyataan Ahmad Faizal itu menimbulkan kebimbangan bahawa kerajaan negeri Perak gagal mengambil kira hak-hak komuniti Orang Asli terbabit terhadap tanah adat mengikut undang-undang am.

 

“...agak membimbangkan apabila kerajaan negeri Perak terus-menerus tidak mengambil kira secara keseluruhannya hak-hak Orang Asli terhadap tanah adat seperti yang dinyatakan oleh mahkamah Malaysia, dan lebih membimbangkan lagi, (jika) ia mengambil tindakan yang bertentangan dengan perlindungan tanah adat Orang Asli yang masih tinggal,” katanya lagi.

Oleh itu, Badan Peguam mencadangkan kerajaan negeri menangguhkan semua kegiatan pembalakan di kawasan yang menjadi pertikaian di Kampung Tasik Cunex Gerik yang didakwa Orang Asli sebagai tanah adat mereka, dan menyiasat dakwaan tersebut bersama-sama dengan komuniti Orang Asli.

Minggu lepas, kerajaan negeri Perak dilaporkan merobohkan sekatan yang dibina oleh Orang Asli di Kampung Tasik Cunex bagi menghalang kegiatan pembalakan.

Pihak berkuasa kemudiannya dikatakan telah menaikkan papan tanda untuk memaklumkan bahawa tanah itu merupakan hak milik kerajaan negeri dan penceroboh akan dikenakan tindakan undang-undang.

Sekatan itu dibina pada awal tahun ini bagi menghalang kegiatan pembalakan yang didakwa dilakukan tanpa pengetahuan atau mendapat kebenaran komuniti itu.

Jabatan Perhutanan Perak mendakwa kegiatan pembalakan di situ tidak meceroboh tanah adat Orang Asli dan setiap pokok yang ditebang adalah bertepatan dengan prosedur ‘pembalakan secara terpilih’.

Dakwaan itu disokong oleh Ahmad Faizal, yang turut menegaskan bahawa akan berlaku kehilangan peluang pekerjaan jika aktiviti pembalakan itu dihentikan.

Beliau turut mendakwa beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mempergunakan Orang Asli untuk mengganggu urusan kerajaan negeri. 

Lihat Komen
ADS