Selepas mengumumkan bonus Aidilfitri untuk penjawat awam minggu lepas, kerajaan Kelantan turut memberi perhatian kepada golongan pemimpin masyarakat di peringkat bawah.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, berkata pihaknya bersetuju untuk membayar elaun hari raya kepada mereka sebanyak RM250 seorang.

Katanya penerima sumbangan itu terdiri daripada semua penghulu, pegawai halaqat, penyelaras pembangunan armalat DUN, penyelaras pembangunan orang kurang upaya, penyelaras ICT serta guru al-Quran dan fardu ain.

"Sempena sambutan Aidil Fitri majlis mesyuarat kerajaan membuat keputusan bersetuju untuk memberikan elaun (bantuan hari raya) berjumlah RM250 kepada pihak berkenaan.

"Elaun khas ataupun bantuan hari raya ini akan disalurkan kepada semua yang berkenaan sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Terdahulu, Kelantan mengumumkan bonus Adilfitri kepada penjawat awam di negeri itu berjumlah RM500 setiap orang.

Ia melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.3 juta.

Sementara itu bagi bantuan RM250 itu bagaimanapun tidak dinyatakan berapa peruntukan keseluruhan dan membabitkan berapa ramai jumlah penerima.