Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) S Nallakaruppan akan membubarkan partinya dan menyertai MIC dalam masa terdekat.
Memetik laporan portal Tamil tempatan Anegun, Presiden MIC, SA Vigneswaran mengesahkan perkara itu.
Selain itu, Vigneswaran juga mengesahkan bekas timbalan presiden Gerakan A Kohilan Pillay turut akan mengambil langkah sama.
"Bekas timbalan presiden Gerakan Kohilan dan Presiden MIUP Nalla bakal menyertai MIC.
"Mereka berdua akan diberikan jawatan penting selepas mereka menyertai parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebuah majlis anjuran sayap Wanita MIC, Sabtu lalu.
Vigneswaran yang juga Speaker Dewan Negara memberitahu bahawa beliau sedang membuat perbincangan dengan parti-parti politik yang lain mewakili masyarakat India agar menyertai MIC.
"(Parti) IPF ditubuhkan 30 tahun yang lalu. Barisan pemimpinnya menguruskan parti dengan baik. Kita (MIC) tidak boleh minta mereka untuk membubarkan parti dan seterusnya menyertai MIC. Tapi, kita harap mereka akan bekerjsama dengan MIC.
"Pada masa yang sama, kita sedang berbincang dengan Parti Makkal Sakthi dipimpin oleh RS Thanendran, bekas aktivis Hindraf pro kerajaan BN," katanya.
IPF sedia kerjasama
Untuk rekod, Nallakaruppan merupakan bekas timbalan ketua pemuda MIC dan dikatakan pernah menjadi rakan tenis Presiden PKR Anwar Ibrahim,
Bagaimanapun, Nallakaruppan keluar daripada MIC dan menyertai PKR pada 2006 sebelum menubuhkan MIUP dan memberi sokongan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Nallakaruppan untuk mengesahkan kenyataan Presiden MIC.
Kohillan sudah mengesahkan bahawa beliau akan menyertai MIC.
"Presiden MIC telah bincang saya mengenai visi beliau untuk masyarakat India dan saya bersetuju menjadi sebahagian daripaa visinya.
"Untuk makluman, saya telah letak jawatan daripada Gerakan selepas parti tersebut bertindak keluar daripada gabungan BN," katanya.
Sementara itu, Presiden IPF, M Sambanthan menyatakan bahawa beliau tidak sesekali akan membubarkan partinya untuk menyertai MIC.
"Kami tidak akan membubarkan parti ini yang berusia 30 tahun. Namun, kami sedia bekerjasama dengan MIC demi masa depan masyarakat India di negara ini," katanya dalam kenyataan semalam.
IPF merupakan parti serpihan MIC, ditubuhkan oleh pengasasnya mendiang MG Pandithan selepas bekas Naib Presiden MIC itu dipecat daripada partinya pada lewat 80-an.
