Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga Adib tuntut penjelasan penarikan diri peguam

Ahli keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mengaku keliru dengan penarikan diri peguam Syazlin Mansor yang dilantik kerajaan bagi inkues kematian anggota bomba berkenaan.

Mohd Kamaruzaman A Wahab yang merupakan peguam yang dilantik keluarga Muhammad Adib memaklumkan perkara itu.

"Kita (peguam) sudah beritahu keluarga (Muhammad Adib), tapi kita pun keliru, apa akan jadi.

"Ini berita mengejut kepada kami," katanya kepada Malaysiakini.

"Kami nampak ada sesuatu yang terjadi, tapi kami tak tahu. Jadi kami mahu penjelasan kenapa tiba-tiba(keputusan itu dibuat).

"Kenapa tiba-tiba? Sebab kes ini dah nak habis dah, tiba-tiba berlaku macam ini," katanya.

Kamaruzaman yang mengetuai pasukan yang terdiri daripada lima peguam yang memberi nasihat kepada keluarga Muhammad Adib berkata demikian sebagai mengulas penarikan diri Syazlin dari inkues itu hari ini.

Syazlin dilantik oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mewakili kementerian itu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.

Pelantikan Syazlin juga sebagai mewakili keluarga Muhammad Adib, selain pasukan peguam yang dilantik keluarga Muhammad Adib sendiri.

Dalam memaklumkan penarikan dirinya hari ini, Syazlin memaklumkan Mahkamah Koroner Shah Alam bahawa ia juga bererti tindakan memanggil semula saksi ke-29 iaitu Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, akan terbatal.

Dr Shahrom sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Adib mengalami kecederaan selepas ditarik keluar dari kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dipukul pada 27 November lalu semasa rusuhan di kuil Seafield.

Keterangannya itu bertentangan dengan kenyataan dua pakar lain, yang memberitahu mahkamah bahawa Adib terjatuh dari kenderaan tersebut dan kecederaannya adalah akibat terkena rempuhan dalam usaha cuba melarikan diri.

Ketika ditanya sama ada pihaknya akan melantik Dr Shahrom sebagai saksi, Kamaruzaman berkata mereka tidak mempunyai sumber untuk berbuat demikian.

"Kami boleh (lantik Dr Shahrom sebagai saksi), tapi kita tak ada sumber.

"Kita tak ada duit nak bayar. Saksi pakar ni patutnya ada yang bayar untuk perkhidmatan dia.

"KPKT ada sumber, kita tak ada," katanya.

Bagaimanapun, untuk rekod, Shahrom tidak dibayar untuk memberi keterangan dalam inkues berkenaan. Perkara ini sudah disahkan oleh Syazlin sebelum ini.

Kamaruzaman juga menambah bahawa mereka tidak akan memanggil Shahrom kerana keterangan Shahrom dalam inkues itu sebelum ini masih diambil kira.

"Saya nampak keterangan (saksi ke-24) Dr Ahmad Hafizam tidak begitu kuat. Jadi sebenarnya keperluan tu tak sangat untuk panggil semula (Dr Shahrom)," katanya.

Hafizam sebelum ini dipanggil semula oleh pegawai pengendali inkues untuk memberi kenyataan lanjut menafikan teori Dr Shahrom.

Kamaruzaman menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan inkues itu meskipun dengan penarikan diri Syazlin.

"Apapun kita akan teruskan, bagi kita, kita akan terus lawan untuk keluarga Muhammad Adib. Dengan atau tanpa (peguam) bomba," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS