Laporan PRU14 Malaysiakini menang Anugerah Sopa
Laporan langsung Malaysiakini berkenaan PRU ke-14 - yang menyaksikan pertukaran kerajaan buat kali pertama sejak kemerdekaan negara pada 1957 - mendapat anugerah kecemerlangan berita terkini (breaking news) oleh Persatuan Penerbit-penerbit Asia (Sopa).
Laporan tersebut, termasuk laporan secara langsung hari mengundi serta laman khas bagi keputusan pilihan raya, menerima sekatan sementara daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ketika malam 9 Mei 2018.
Secara keseluruhan, liputan langsung itu berjalan selama 22 jam 40 minit. Lebih 10 juta mengikuti liputan pilihan raya bersejarah itu.
South China Morning Post mendapat tempat kedua menerusi laporan berkenaan taufan Mangkhut, taufan paling kuat yang melanda Hong Kong sejak 1983. Ia turut menerima penghargaan khas (honourable mention).
Barisan pemenang diumumkan di Hong Kong malam ini.
Pada tahun lalu, laporan siasatan bersama oleh Malaysiakini dan Tempo - yang mengesan pergerakan wang dalam kegiatan penyeludupan pembantu rumah menerima penghargaan khas dalam kategori laporan penyiasatan.
Pada 2016, Malaysiakini turut menerima penghargaan khas dalam kategori fotografi untuk liputan himpunan Bersih 4.
Setahun sebelumnya, ia menang anugerah laporan penyiasatan untuk siri laporan bertajuk 'The rise of the Johor royal family's business empire'.
Bermula pada 1999, Anugerah Sopa merupakan anugerah paling berprestij dalam industri media di Asia.
Panel meliputi 100 hakim antarabangsa, termasuk wartawan, editor, kolumnis daripada penerbitan utama, serta ahli akademik daripada jabatan media di universiti utama.

