Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mansuh akta perhimpunan awam, bukan kurangkan tempoh serah notis'

Kerajaan PH digesa memansuhkan Akta Perhimpunan Awam (APA) 2012 dan bukan sekadar mengurangkan tempoh 10 hari untuk penganjur menyerahkan notis sebelum mengadakan perhimpunan, kata K Kunasekaran.

Ketua Biro Perundangan Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu berkata demikian sebagai mengulas keputusan kabinet yang menetapkan tempoh penyerahan notis 10 hari kepada pihak polis dikurangkan kepada tujuh hari.

"Apa beza antara 10 hari dikurangkan tujuh hari? Apa yang cuba disampaikan oleh kerajaan dengan tempoh penyerahan notis dikurangkan?

"Sebaliknya, kerajaan PH perlu memegang kepada janji dalam manifesto iaitu memansuhkan akta tersebut," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memaklumkan bahawa kabinet memutuskan untuk memendekkan tempoh notis pemberitahuan penganjuran sebarang perhimpunan daripada 10 hari kepada tujuh hari.

Dalam satu majlis membuka puasa bersama warga media pada 28 Mei di Hotel Istana, Mohamad Sabu berkata bahawa keputusan mengurangkan tempoh tersebut adalah untuk permudahkan penganjuran perhimpunan.

"Kabinet dua minggu lepas membuat keputusan untuk pendekkan tempoh memohon penganjuran himpunan. Kalau dulu perlu memohon 10 hari sekarang tujuh hari, ertinya kita permudahkan lagi .

"Kalau nak himpun, nak bercakap, nak membantah, silakan. Cuma kita betul-betul pantau jangan ada unsur-unsur radikal, ISIS ataupun pasukan bersenjata dan sebagainya. Itu kita pantau secara keras sekarang ini," katanya.

Untuk rekod, fasal 9(1) APA 2012 menyebut penganjur hendaklah memberi notis mengadakan perhimpunan kepada polis dalam tempoh 10 hari.

Bagaimanapun, Kunasekaran berpendapat bahawa keputusan kabinet merupakan satu lagi U-turn oleh kerajaan PH.

"Kalau BN dengan PH, dua-dua pun pakar U-turn. Pemberian notis ini hanya satu garis panduan. Tetapi, berkumpul atau mengadakan perhimpunan adalah hak kita di bawah perlembagaan negara.

"Lebih-lebih lagi, pemansuhan akta ini jelas tidak akan menjejaskan ekonomi negara kita," tegas Kunasekaran.

Lihat Komen
ADS