Gunting rambut percuma untuk gelandangan sempena raya
Pernah merasakan bayaran RM15 itu mahal untuk memotong rambut ketika susah, seorang tukang gunting rambut menawarkan perkhidmatan percuma kepada golongan gelandangan yang mahukan potongan rambut baharu menjelang Syawal, minggu depan.
Muhamad Faris Mansur, 32, berkata dengan menawarkan khidmat gunting rambut percuma kepada mereka yang memerlukan, ia sentiasa mengingatkan dirinya pada yang Esa selain sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diperolehinya.
Pemilik kedai gunting rambut Jack and John Barber Shop itu berkata penglibatannya dalam aktiviti kesukarelawanan selama tiga tahun turut membuatkannya menitiskan air matanya apabila mengenangkan nasib insan yang serba kekurangan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Mereka ada mata, mereka melihat insan lain berbahagia, tapi mereka sekadar boleh melihat. Jadi apa salahnya kita kongsikan sedikit kelebihan yang Allah bagi pada kita untuk kita buat mereka juga bahagia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui sewaktu Program Raikan Syawal Bersama Rakan Jalanan anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Anjung Singgah YKN, Larkin, Johor Bahru semalam.
Anak kedua daripada empat adik beradik itu juga turut diteladani oleh pekerja-pekerjanya yang sentiasa dibawa bersama dalam setiap aktiviti amal yang disertainya.
“Alhamdulillah, semua pekerja saya menyokong tindakan saya dalam perkara ini, saya tidak bayar mereka untuk bekerja lebih masa tapi mereka sendiri yang mahu melakukannya,” katanya.
Syajiri Abu Umar, salah seorang gelandangan yang berpeluang menerima khidmat gunting rambut itu melahirkan rasa gembira kerana memperoleh gaya rambut baharu untuk Hari Raya tahun ini.
“Semoga Allah membalas segala budi baik insan-insan yang telah membantu kami membuat persediaan raya, kami tak mampu nak balas,” katanya.
Mohd Norfazrizal Imran yang juga penghuni Anjung Singgah YKN bersyukur kerana masih ada insan yang bersimpati kepada golongan yang tidak berkemampuan sepertinya untuk membuat persediaan Hari Raya Aidilfitri.
“Sekiranya tiada sukarelawan seperti mereka, saya potong rambut saya sendiri sahaja, itu pun tiga kali setahun sebab nak bagi betul-betul panjang untuk dipotong,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 100 orang gelandangan menerima sumbangan makanan berbuka puasa dan 21 orang penghuni Anjung Singgah YKN menerima sumbangan hari raya daripada pihak YKN dan badan bukan kerajaan di Johor Bahru.
- Bernama

