Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: 'Infaq wajib Ramadan' bukan zakat tapi sumbangan ahli

PAS Pulau Pinang menegaskan sumbangan ‘infaq wajib Ramadan’ yang diminta oleh parti negeri itu bukanlah kutipan zakat sebaliknya ia adalah sumbangan kepada parti.

Pesuruhjayanya Muhammad Fauzi Yusoff berkata, sumbangan itu hanya melibatkan ahli parti bagi menjalankan aktiviti PAS negeri itu.

“Itu bukan zakat tapi kutipan derma ahli untuk parti sempena Ramadan.

“Kutipan ini inisiatif kita sahaja sebab kita nak buat pembangunan kita dan jalankan aktiviti PAS,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Mainpp) membidas tindakan PAS Pulau Pinang yang mengutip sumbangan ketika bulan Ramadan yang mengelirukan orang ramai dengan zakat fitrah.

Yang Dipertua Mainpp Malik Abul Kassim berkata kekeliruan itu boleh berlaku memandangkan pembayaran zakat fitrah sedang rancak dibuat di bulan puasa ini.

Resit sumbangan bernilai RM7 yang tular di media sosial turut memaparkan wajah Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Murshidul Am PAS Hashim Jasin.

Mengulas lanjut, Muhamad berkata 'kekeliruan' yang dimaksudkan Mainpp cuma tafsiran sendiri memandangkan ia bukanlah kutipan zakat.

Menurutnya lagi, PAS mengutip sumbangan pada Ramadan kerana ia adalah bulan yang dianjurkan bersedekah.

“Bulan lain tak istimewa macam Ramadan, semua maklum Ramadan ini bulan amalan sedekah.

“Ramadan bulan derma, bulan ganjaran sebab itu kita mengajak ahli PAS menderma kepada PAS,” katanya.

Muhamad turut berkata ini bukan kali pertama pihaknya berbuat demikian kerana sebelum ini kutipan seumpamanya turut dijalankan di kawasan cawangan dan daerah.

“Kita dah buat selalu daripada dulu, kita buat infak Ramadan untuk sedekah pada PAS pada semua peringkat,” katanya.

Lihat Komen
ADS