Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Latheefa tinggalkan PKR tak tukar tanggapan negatif'

Tindakan Latheefa Koya melepaskan keahliannya sebagai anggota PKR bagi memenuhi pelantikan sebagai ketua pesuruhjaya baru SPRM tidak akan mengubah tanggapan orang ramai, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam, William Leong.

"Tanpa sebarang cara merujuk keupayaan peribadi, integriti dan perwatakan beliau, pelantikan Latheefa sebagai salah seorang anggota parti komponen gabungan PH akan memberi kesan terhadap keyakinan awam dan tanggapan orang ramai mengenai kebebasan SPRM," katanya dalam suatu kenyataan.

MP PKR itu memberitahu Malaysiakini bahawa jawatankuasa khas parlimen itu tidak tahu-menahu mengenai pelantikan jawatan tersebut.

"Pelantikan beliau sepatutnya dimaklumkan kepada kami untuk dibincangkan tetapi kami tidak tahu mengenai perkara ini," kata Leong.

Anggota parlimen Selayang itu berkata beliau tidak setuju pelantikan Latheefa kerana PH sering kali memperjuangakan ahli politik tidak patut mengetuai agensi sebegitu, khususnya sebuah badan bebas.

"Selama ini, kami bercakap mengenai kebebasan SPRM. Apabila ada seseorang daripada parti tertentu (dilantik), maka (pelantikan itu) akan dipolitikkan," katanya.

Leong berkata PKR akan membincangkan pelantikan Latheefa.

Setuju dengan pandangan MP PKR itu, Naib Presiden PAS Iskandar A Samad berkata pada awalnya beliau menganggap laporan mengenai pelantikan peguam dan pemimpin pusat PKR itu sama ada sebagai berita palsu atau jenaka menjelang Aidilfitri.

"Pada mulanya saya menyangka berita perlantikan Latheefa Koya sebagai ketua baru SPRM adalah fake news atau lawak jenaka menjelang hari raya, tetapi setelah menyemak sebuah portal berita, pelantikan itu adalah benar.

Adun Cempaka itu juga berkata, di bawah Latheefa integriti SPRM akan diragui jika berlaku pendakwaan atau kes yang tidak diambil tindakan meskipun beliau berlaku adil.

“SPRM akan sentiasa dipertikaikan. Ini tidak akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap badan itu.

"Ianya juga tidak baik untuk imej negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Latheefa memberitahu beliau telah melepaskan keanggotaannya dalam PKR yang berkuat kuasa semalam selepas dimaklumkan mengenai pelantikannya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS