Bekalan air di kebanyakan kawasan wilayah Klang yang terjejas ekoran insiden paip utama pecah di Setia Alam, telah mencapai peratusan pemulihan sebanyak 82 peratus sehingga pukul 6 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata bagaimanapun, bekalan air ke premis yang berada di kawasan penghujung sistem agihan, masih belum stabil dan mengalami gangguan tekanan rendah.

“Pihak kami sedang berusaha meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran di sistem agihan dan mensasarkan proses pemulihan sepenuhnya pada tengah malam ini.

“Pihak kami masih terus menggerakkan dan menyalurkan bantuan bekalan melalui lori-lori tangki air, ke kawasan yang masih belum pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pengguna boleh menghubungi talian 15300 untuk sebarang bantuan, dan merujuk laman sesawang www.syabas.com.my atau laman Facebook agensi itu, serta menerusi aplikasi Air Selangor yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store untuk maklumat dan status terkini.

- Bernama