Kerana duit poket sekolah kanak-kanak disyaki didera dengan sudu panas
Gara-gara curi duit poket untuk ke sekolah, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun disyaki didera menggunakan sudu panas di bahagian muka dan badannya oleh bapa angkatnya, kata sumber kepada Malaysiakini pagi tadi.
Sementara itu, malam ini Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan dipetik Bernama mengesahkan mengenai kejadian seorang kanak-kanak perempuan didera di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dekat Kuala Lumpur itu.
Ismadi berkata mangsa berusia tujuh tahun tinggal bersama suspek, telah dipukul dan didera kira-kira 6 petang 30 Mei, selepas dituduh mencuri wang.
“Mangsa mengalami kecederaan melecur di kedua belah pipi, tangan, pinggang kanan serta kaki kiri akibat didera menggunakan sudu panas.
"Selepas didera, suspek memberikan minyak kepada mangsa dan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kini berada di Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.
Ismadi berkata ibu angkat mangsa berusia 25 tahun, membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam, selepas beliau pulang bercuti dari India pada Ahad lepas.
“Beliau (ibu angkat) meninggalkan mangsa bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun, kepada suspek sejak 24 Mei lepas.
“Suspek dan pengadu (isteri) telah berkahwin selama lima tahun dan mangsa merupakan anak angkat yang diambil secara sah sejak 2018,” katanya.
Menjelaskan lanjut, katanya usaha mengesan suspek berusia 48 tahun sedang dijalankan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

