Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyanyi ditahan kerana bela anak beruang matahari

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan seorang penyanyi kerana disyaki menyimpan anak beruang matahari di kondominumnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur, semalam.

Individu berusia 27 tahun itu ditahan pada kira-kira jam 8 malam selepas pihak Perhilitan membuat pemeriksaan mengejut di rumahnya susulan maklumat orang awam.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, ketika dihubungi, mengesahkan penahan individu itu bagi membantu siasatan kes itu.

“Individu itu tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen pemilikan beruang itu,” katanya.

Beliau berkata individu itu disiasat kerana menyimpan hidupan liar yang dlindungi tanpa kebenaran Perhilitan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Video berdurasi lima saat serta gambar kepala beruang matahari cuba keluar dari tingkap kondominium kediaman wanita itu tular di laman sosial hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS