Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Ibrahim terima kunjungan ketua bahagian Bersatu Johor esok
Diterbitkan:  Jun 9, 2019 8:23 PM
Dikemaskini: 12:24 PM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan untuk mengadakan perjumpaan dengan ketua bahagian Bersatu negeri itu esok.

Perjumpaan sempena Hari Raya Aidilfitri itu disahkan oleh Menteri Besar Johor Sahruddin Jamal hari ini.

"Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang sedang diraikan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengadakan perjumpaan Hari Raya Aidilfitri bersama ketua-ketua bahagian Bersatu Johor pada 10 Jun, jam empat petang di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru," katanya dalam kenyataan.

Sahruddin mengucapkan terima kasih kepada ke atas Sultan Ibrahim dan berharap perjumpaan itu akan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak.

Semalam, Sultan Ibrahim dilaporkan mengundang pembangkang negeri - Umno - untuk kunjungan sempena hari raya, yang disifatkan sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Ini kali pertama (mendapat undangan berkunjung ke istana). Masa jadi kerajaan pun tak ada," kata sumber kepada Malaysiakini.

Antara pemimpin yang dilihat bergambar bersama baginda ialah ketua pembangkang Johor Hasni Mohammed, bekas timbalan menteri Nur Jazlan Mohamed dan Razali Ibrahim dan bekas anggota parlimen Johor Bahru Shahrir Samad.

Sultan Ibrahim juga menerima kunjungan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor yang terdiri daripada menteri besar dan barisan exco.

Pemimpin PH memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak tahu berkenaan sebarang jemputan khusus untuk mereka.

Lihat Komen
ADS