Kementerian Pertahanan telah mengenal pasti sebanyak 16 lokasi terlibat dalam aktiviti pencerobohan di tanah milik kementerian itu sehingga Mei tahun ini.

Dalam satu kenyataan kementerian itu berkata, bentuk-bentuk pencerobohan itu termasuk aktiviti pertanian, pembinaan struktur, pembinaan rumah setinggan dan rumah ibadat serta pembalakan haram.

Kementerian Pertahanan memiliki tanah berkeluasan 1,165,933.73 ekar yang kini sedang diduduki oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai tapak-tapak kem tentera, tapak lapang sasar serta kawasan perumahan Angkatan Tentera.

"Pendudukan secara haram boleh mendatangkan isu keselamatan terutama tanah-tanah yang dijadikan sebagai kawasan tapak lapang sasar dan Manuver.

"Ini boleh membahayakan keselamatan penceroboh sekiranya pihak tentera mengadakan operasi dan latihan ketenteraan di kawasan tersebut," jelas kementerian tersebut.

Menurutnya, antara tindakan-tindakan yang telah diambil adalah seperti mengemukakan permohonan melaksanakan penguatkuasaan kepada Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri serta mengeluarkan notis pengosongan tapak kepada pihak penceroboh.

Pihak ATM juga telah mengambil inisiatif dengan mengeluarkan arahan pengawasan dan kawalan ke atas pencerobohan tanah-tanah milik persekutuan kegunaan ATM.

Beberapa langkah lain turut diambil bagi membendung kegiatan itu, antaranya pemasangan pagar, papan tanda dan mewujudkan perjanjian penyewaan atau pajakan tanah tertakluk kepada perancangan pembangunan daripada pihak tentera.