Bersih sasar kumpul dana RM1.4 juta
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, Bersih 2.0 mensasarkan untuk mengumpul dana sebanyak 1.4 juta bagi membiayai aktiviti mereka.
Menurut pengerusi gabungan tersebut, Thomas Fann, dana yang dikumpul akan digunakan untuk pelbagai program sehingga hujung tahun depan, termasuk menampung kos operasi.
Terdapat enam program utama antaranya reformasi pilihan raya, reformasi parlimen, pemerhati pilihan raya, pemulihan semula sistem pilihan raya negeri, pendidikan mengenai demokrasi di kalangan penuntut universiti serta projek berkenaan pilihan raya negeri Sarawak.
Kos setiap projek tersebut dianggarkan sebanyak RM640,000.
Menurut Fann, dengan perubahan kerajaan baru, agenda reformasi menunjukkan perkembangan positif, namun ia hanya permulaan kerana usaha tersebut bakal menjadi lebih sukar.
“Reformasi menunjukkan perkembangan positif, namun saya juga menjangkakan bahawa mereka akan mengalami kesulitan kerana sesetengah reformasi memerlukan pindaan perlembagaan.
“Pihak kerajaan tidak mempunyai majoriti 2/3 daripada parlimen," ujarnya dalam satu sidang media di Petaling Jaya.
Fann menyatakan bahawa Bersih inginkan reformasi yang kukuh di mana Perdana Menteri kelak tidak akan boleh mengubahnya.
Selain itu, Bersih akan sentiasa mengingatkan Pakatan Harapan mengenai manifesto mereka agar selari dengan apa yang diperjuangkan oleh Bersih sejak penubuhannya 13 tahun lalu.
“Kebanyakan permintaan kami selari dengan manifesto Pakatan Harapan seperti memperkasakan institusi pilihan raya serta mengehadkan tempoh pemerintahan Perdana Menteri kepada dua tahun.
“Kami meminta untuk memperkasakan institusi tersebut dan menjadikannya bebas. Permintaan ini telah dibuat setelah sekian lama,” ujarnya lagi.

