Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis sekat jalan ke kampung Orang Asli, NGO, media solat hajat

Jalan masuk ke perkampungan Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang disekat sejak pagi tadi dan ini menjejaskan perjalanan kira-kira 50 petugas media dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan bantuan bekalan makanan kepada penduduk Orang Asli suku Batek di kampung itu.

Mereka kemudian mengadakan solat sunat hajat di jalan masuk utama di Jalan Felda Aring.

Wakil NGO yang antaranya daripada Misi Kembara Dakwah, Pertubuhan Sukarelawan Rakyat, Yayasan Amal Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia itu turut disertai oleh Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff dan Timbalan Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Kelantan, Nazman Che Ibrahim.

Solat hajat diimamkan oleh Penyelia PAS DUN Paloh, Azman Ahmad yang mendoakan kemudahan urusan pihak berkuasa dalam misi mengesan kubur dan jasad Orang Asli yang dikatakan meninggal dunia sejak awal bulan lalu.

Difahamkan, hari ini bermula misi pencarian tersebut yang dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, isu kematian suku Bateq di Kuala Koh menjadi tumpuan selepas dikatakan melibatkan 14 kematian.

Dua daripadanya penduduk yang meninggal dunia itu disahkan oleh pihak berkuasa akibat jangkitan radang paru-paru.

Namun, 12 lagi mayat dikatakan meninggal dunia lebih awal dan dikebumikan oleh penduduk di kawasan hutan penempatan berkenaan.

Semua 12 mayat tersebut terpaksa digali semula untuk dibedah siasat bagi mencari punca kematian mereka yang dikatakan meninggal secara mengejut sejak 2 Mei lalu hingga 7 Jun.

Sehingga kini sebanyak 101 kes dicatatkan di kawasan termasuk dua kes kematian yang berpunca daripada jangkitan pneumonia seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad semalam mengesahkan seramai empat mangsa sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai termasuk seorang di HRPZ II.

Daripada jumlah itu, seramai 40 pesakit dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Ciku dan Aring manakala 22 pesakit masih berada di wad biasa di Hospital Gua Musang.

Selain itu 18 pesakit berada di wad biasa di Hospital Kuala Krai, seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan 14 kes di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA).

Lihat Komen
ADS