BERITA Malaysiakini

Pemuda PKR gesa timb menteri gantung tugas Haziq

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang pemimpin pemuda PKR menggesa Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar menggantung tugas Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai setiausaha sulit kanannya dengan segera.

Ia selepas Haziq mengaku sebagai salah seorang lelaki dalam video seks yang tersebar semalam. Dia juga mengaitkan seorang menteri daripada PKR sebagai seorang lagi lelaki dalam video itu.

"Kami berpandangan reputasi kementerian dan kerajaan Malaysia telah tercemar ekoran konspirasi terancang yang sama seperti apa yang berlaku 20 tahun lalu.

"Setiausaha sulit kanan itu tidak sepatutnya dibenarkan lagi mempunyai apa-apa hubungan rasmi dengan agensi (kerajaan) untuk menjaga kredibiliti kementerian," kata Ketua Pemuda PKR Kuala Selangor M Rajevigneswaran.

Shamsul juga merupakan ketua penerangan PKR.

Rajavigneswaran berkata kenyataannya itu mewakili semua ketua pemuda cabang PKR Selangor.

"Kami berharap tindakan segera diambil untuk memastikan ia tidak menjadi polemik yang akan merosakkan reputasi dan usaha kerajaan untuk mengembalikan negara ke hala tuju yang betul," katanya lagi.

Pada awal pagi 11 Jun lalu, video seks itu disebarkan secara sistematik apabila wartawan dan anggota PKR dimasukkan dalam beberapa kumpulan Whatsapp oleh nombor telefon tidak dikenali.

Video yang terdiri daripada tiga bahagian itu kemudian dikongsikan dalam kumpulan tersebut serta dokumen bank yang dikatakan bayaran kepada menteri terbabit.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan klip video tersebut.

Dalam satu rakaman video awal pagi ini, Haziq mendakwa dua lelaki yang dirakam itu adalah dirinya dan menteri itu.

Dia mendakwa kejadian itu berlaku pada 11 Mei lalu i sebuah bilik hotel di Sandakan dan video itu dirakam tanpa kebenarannya.