Malaysiakini BERITA

Anwar, Azmin dah berbicara panjang

Annabelle Lee dan Ng Xiang Yi  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Biro Politik PKR akan membincangkan isu klip video lucah yang didakwa membabitkan timbalan presiden parti itu, Azmin Ali, dalam pertemuan mereka petang ini.

Bercakap kepada media di Petaling Jaya sebentar tadi, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata semua perkara yang berbangkit akan dibincangkan, termasuk "perkembangan terkini".

Bagaimanapun, Anwar berkata, kenyataan mengenai isu berkenaan hanya akan dikeluarkan selepas beliau bermesyuarat dengan anggota biro politik terbabit.

Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson memberitahu mesyuarat hari ini tidak dihadiri Azmin.

Pun begitu, katanya, beliau sudah bercakap "panjang" dengan Azmin - yang juga menteri hal ehwal ekonomi - melalui telefon sebelum ini.

"Saya ada hubungi (Azmin) melalui telefon dan berbicara panjang (dengan beliau).

Bagaimanapun Anwar enggan mendedahkan apa yang dibincangkan oleh mereka berdua.

"Saya kena maklumkan kepada pimpinan parti terlebih dulu," katanya.

Ditanya berapa lama mesyuarat itu akan berlangsung, Anwar secara berjenaka menjawab: "Dalam enam jam."


Baca Saya di atas ranjang bersama menteri itu, kata Haziq


Beliau kemudian menjelaskan pertemuan tersebut dijangka tidak akan mengambil masa terlalu lama.

"Saya fikir kami tidak akan mengambil banyak masa dalam membincangkan isu ni," katanya.

Sejak sehari dua lalu beredar rakaman klip video memaparkan dua lelaki sedang bercumbuan di atas katil dan ia dikaitkan dengan Azmin.

Awal pagi tadi setiausaha sulit kanan kepada ketua penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, tampil membuat pengakuan bahawa salah seorang lelaki yang dirakam imejnya itu adalah dirinya.

Haziq Abdullah Abdul Aziz mendakwa aksi intim itu dirakam tanpa kerelaannya di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.

Azmin petang ini bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menganggap ia sebahagian daripada cubaan pihak tertentu untuk memusnahkan kerjaya politik serta peribadinya.