BERITA Malaysiakini

Lokman bidas pemimpin Umno pertahan Azmin

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Lokman Noor Adam membidas kepimpinan partinya kerana dikatakan mempertahankan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berhubung dakwaan skandal seksnya.

Ini susulan pemangku presiden Umno Mohamad Hasan menggesa parti itu untuk tidak mengambil kesempatan atas isu video seks tersebut dan bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin meminta orang ramai berbuat perkara yang sama.

"Lebih memeritkan, satu dua kepimpinan Umno yang berkiblatkan Mahathir tampil mempertahankan Azmin selepas pengakuan Haziq dan melarang penyebaran video tersebut

"Padahal, yang kita dedahkan kepada umum bukan video yang mengaibkan, tetapi adalah dokumen bukti pemindahan dana dari UEM Group Bhd ke akaun yang dikatakan milik Azmin," dakwa Lokman dalam suatu kenyataan hari ini.

Semalam, pemimpin Umno itu menggesa polis untuk menyiasat kesahihan video seks itu dan turut membuat laporan kepada SPRM mengenai dakwaan pemindahan wang itu.

UEM menafikan dakwaan pemindahan dana tersebut berkata syarikat berkenaan tidak memiliki akaun Maybank cawangan Kuala Lumpur atau akaun dengan nombor yang tertera dalam dokumen yang dikatakan itu.

Terdahulu hari ini, Haziq Abdullah  Abdul Aziz yang juga ketua pemuda PKR Santubong mengakui dia salah seorang individu di dalam video seks itu.

Bagaimanapun, Azmin menafikan video tersebut, berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan yang disifatkannya sebagai "komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya."

"Saya telah mengarahkan para peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain,” katanya.

Kenyataan Lokman yang menyentuh pemimpin Umno ini pula dibuat sebagai memberi maklum balas terhadap Adun PKR Azmizam Zaman Huri.

Semalam, Azmizam mempertikaikan kepantasan Lokman bertindak balas terhadap dakwaan video itu dan mempersoalkan jika ahli MT Umno itu tidak tidur.

Mengulas kenyataan Azmizam itu, Lokman mengakui yang dia memang tidak dapat tidur semalaman memikirkan hal video tersebut.

"Ya, memang saya tidak tidur selepas (menerima video seks) itu kerana saya terus menulis kenyataan media dan draf laporan SPRM serta laporan polis itu sendiri.

"Bagaimana saya boleh tidur dalam keadaan, lelaki didalam video itu dikatakan mahu diangkat oleh Dr Mahathir menjadi perdana menteri menggantikan beliau," katanya lagi.