Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Politik idea bukan seks, seks, seks
Diterbitkan:  Jun 12, 2019 9:49 PM
Dikemaskini: 1:49 PM

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menolak politik murahan dalam penyebaran isu video seks melibatkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Katanya, hal ini menjadi antara punca golongan belia enggan terlibat dalam bidang politik.

"Saya membenci tahap politik murahan sebegini.

"Ini antara sebab utama kenapa anak muda berfikir politik itu kotor dan memilih untuk menjauhkan diri daripadanya.

"Saya fikir, terutamanya untuk anak muda politik sepatutnya mengenai idealisme, idea dan prinsip bagi merangka jalan maju ke hadapan demi kepentingan bersama negara dan bukan mengenai seks, seks, seks dan lebih banyak seks," katanya ketika ditanya wartawan pada suatu majlis Bersatu di Kuala Lumpur malam ini.

Syed Saddiq yang juga ketua Armada Bersatu turut mengecam pihak di sebalik penyebaran video seks tersebut.

Semalam, satu klip video memaparkan dua lelaki di atas ranjang melakukan aksi lucah dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai seorang menteri kabinet.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan klip video tersebut.

Sementara itu, Haziq Abdullah Abdul Aziz pada hari ini membuat pengakuan bersumpah bahawa dia individu terbabit dalam aksi tersebut.

Haziq yang merupakan setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

"Saya Haziq Aziz dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama [...] dalam video yang telah viral semalam.

"Video tersebut diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei (semasa) Pilihan Raya Kecil Sandakan di (bilik) [...] di Hotel Four Points," katanya.

Polis hari ini mengesahkan telah memulakan siasatan mengenai klip video seks itu.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali hari ini tampil menafikan dirinya terbabit dalam sebuah video lucah yang sedang beredar di media sosial.

“Saya yakin siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian saya serta menjatuhkan saya dan memusnahkan karier politik saya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, beliau akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat ini.

Lihat Komen
ADS