KES NAJIB | Perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak ditangguhkan tengah hari tadi bagi memberi peluang kepada pasukan pembelaan untuk memeriksa dakwaan wujudnya percanggahan dalam keterangan yang diberikan bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail.

Ismee yang merupakan saksi ke-39 hari ini memberi keterangan bahawa lembaga pengarah (BOD) SR International akan menuruti kemahuan pemegang saham, dan bukannya nasihat Najib.

Bagaimanapun, kenyataan kesaksian bertulis Ismee kepada mahkamah menyatakan bahawa BOD mengikut nasihat Najib.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan ketua peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah agar perbicaraan ditangguhkan hari ini dan disambung 9 pagi esok.

"Kita sudah membuat pemeriksaan balas yang cukup dan kini perlu meneliti dokumen bagi memutuskan sama ada wujud percanggahan.

"Untuk itu, kami perlu meneliti resolusi (BOD SRC) dan mengkaji transkrip saksi yang mendakwa perlu menerima arahan daripada Najib.

"Dengan mengambil kita bilangan peguam (dalam pasukan pembelaan), kami perlu berunding sesama sendiri," kata Shafee.

Timbalan pendakwa raya V Sithambaram bersetuju dengan permohonan pasukan pembelaan dan menangguhkan perkara itu ke esok.

Hakim Nazlan kemudian membenarkan perbicaraan hari ini ditangguhkan dan disambung semula 9 pagi esok.

[Baca berita penuh]